Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan pemain import mereka, Jordan Ayimbila akan berangkat ke Amerika Syarikat untuk mengembangkan lagi perjalanan karier bola sepak bersama pasukan baharunya, San Antonio FC.
Penghijrahan pemain itu telah mendapat persetujuan bersama pihak pengurusan Selangor FC dan ketua jurulatih pasukan utama, Michael Feichtenbeiner.
Michael gembira dengan pencapaian Jordan dan berkata,
“Ini adalah sebahagian daripada sistem yang telah kita bina di sini untuk pemain muda. Selangor FC mahu melahirkan pemain yang berpotensi dengan memberi peluang untuk mengembangkan bakat mereka baik pemain tempatan atau import. Jordan adalah pemain import muda yang kami tandatangani musim lalu. Kemahiran beliau dari segi kecergasan, kelajuan dan larian yang bagus telah diasah untuk menjadi lebih optimum ketika bersama kelab ini.
“Setelah beraksi dalam 24 perlawanan bersama pasukan utama dengan satu bantuan gol sebagai pemain pertahanan, melalui pendedahan sistem Selangor FC ini, kelab lain mula melihat potensi beliau dan ini telah membuka peluang besar bagi Jordan untuk ke peringkat lebih tinggi. Saya turut berbangga dengan hasil dan pencapaian beliau ini dan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.
SELAMAT MAJU JAYA JORDAN!
Pasukan #GergasiMerah mengucapkan terima kasih dan semoga berjaya kepada Jordan Ayimbila yang akan berhijrah ke Amerika Syarikat.
Baca artikel penuh di https://t.co/DIuHO8Ihc5 untuk maklumat lanjut atau terus ke pautan ini : https://t.co/3zfZmRSDKV pic.twitter.com/MUynnmugaW
— Selangor FC (@selangorfc) March 2, 2022
Jordan juga sempat berkongsi perasaannya sebelum berlepas, “Pada mulanya saya datang ke sini untuk bermain bersama pasukan Selangor FC 2 dan kemudian saya diberi peluang untuk ke pasukan utama. Jadi, saya sangat bersyukur dengan pengalaman yang saya dapat di sini. Saya akan menggunakan semua yang saya pelajari di sini untuk meningkatkan lagi kualiti permainan saya,”
“Rakan sepasukan di sini juga sangat baik dengan saya. Terima kasih untuk sepanjang saya berada di sini. Walaupun saya tidak lagi bersama Selangor FC namun hati saya tetap dengan anda semua,”
Sementara itu, Jordan sangat berbesar hati dengan peluang yang telah diberikan kepadanya selama bersama kem Selangor FC. Beliau berharap dapat menggunakan segala yang dipelajari di sini untuk menjadi pemain yang lebih baik di masa akan datang.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Dibawa Khas Dari Turki, Penang Lancar Jersi Rasmi Pada 3 Mac Ini
Forestieri Tidak Dapat Menahan Sebak Selepas Menang Piala Pertama Bersama JDT
RTM Diumumkan Sebagai Rakan Penyiar Unifi Liga Malaysia 2022
Piala FA 2022: Terengganu Jumpa Negeri Sembilan Di Pusingan Pertama