Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) hari ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) selama 3 tahun yang akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam pelbagai aspek pembangunan bola sepak.
Baca Juga:
- TMJ: Sebelum Adanya JDT, Mengapa Semua Tiada Pusat Latihan Sendiri
- JDT Didenda RM120,000 Kerana Bakar Suar Di Stadium Sultan Ibrahim
- TMJ: Mengapa Pemain Perlu Keluar? Di JDT Ada ‘Quality Match’
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim turut menyaksikan upacara tersebut di Singapura.
Antara objektif MoU itu termasuk pembangunan remaja berpotensi, siri perlawanan bola sepak antara pasukan-pasukan remaja Johor dan Singapura, perlawanan-perlawanan persahabatan antara Pilihan Johor dan Pilihan Singapura serta perkongsian kepakaran teknikal, medikal, sains sukan dan komersil.
Menerusi perjanjian MOU itu turut menggalakkan lawatan pertukaran, di mana butiran setiap lawatan akan dimaklumkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak, dengan mengambil kira kepentingan pembangunan bola sepak di Singapura dan Johor.
JDT juga berpeluang menggunakan fasiliti bola sepak di Singapura untuk kem latihan sambil mengatur perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab Liga Singapura.
Pemangku Presiden FAS, Bernard Tan, berkata:
“Penandatanganan MOU hari ini merupakan langkah penting ke arah mengukuhkan hubungan bola sepak dengan jiran dan memastikan wujud perkongsian yang saling menguntungkan untuk memartabatkan bola sepak di kedua-dua pihak.
“Bersama-sama dengan Johor FA, kami komited sepenuhnya untuk melaksanakan MOU secara aktif untuk membangunkan program baharu dan kami mengharapkan perkongsian yang bermanfaat dan berkekalan.”
Turut hadir di Majlis tersebut ialah bekas pemain JDT, Baihakki Khaizan yang kini bertugas sebagai Ketua Projek Khas dan duta Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).