Jodoh Datuk Lim Teong Kim bersama skuad Liga Super Perak sudah sampai ke penghujung apabila beliau baharu sahaja dipecat daripada jawatan ketua jurulatih kelab tersebut.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai jurulatih yang sinonim dengan perkembangan bakat muda itu disahkan menerusi kenyataan dikeluarkan laman Facebook rasmi Perak Football Club, sebentar tadi.

“Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuat kuasa serta merta.”

“Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih Sementara untuk masa terdekat.”

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” ujar kenyataan tersebut.

Kehadiran Lim Teong Kim pada September 2022 jelas mencuri tumpuan dengan harapan beliau dapat mengubah nasib pasukan Perak yang sebelum ini terumbang-ambing selama dua musim berikutan masalah tunggakan gaji.

Namun, falsafah ‘trust the process’ pada awal kehadiran Teong Kim tidak mampu menghalang beliau daripada menerima bahang susulan aksi kurang meyakinkan dalam kempen Liga Super setakat ini.

Selepas mengharungi 12 perlawanan setakat ini, Perak berada di tangga ke-11 daripada 14 pasukan bertanding hasil dua kemenangan, tiga keputusan seri dan tujuh kekalahan bagi mengumpul sembilan mata.

Dua kemenangan yang diraih adalah ketika menundukkan Kuching City FC di Ipoh serta Kelantan sewaktu kunjungan ke Kota Bharu.