Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan saingan Liga Super 2023 dengan nota kemenangan selepas tidak berdepan masalah menundukkan Terengganu 2-0 sekali gus menjulang Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut.
Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim yang dibanjiri kehadiran para penyokong setia mereka, JDT tampil kemas dengan kehadiran rekrut baharu seperti Ahmad Syihan Hazmi, Juan Muniz Gallego dan Oscar Arribas Passero manakala Jordi Amat bertindak selaku ketua pasukan.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada dihadapan apabila Muniz berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Bergson da Silva seawal minit kelima permainan.
Pemain sayap lincah JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-15 tetapi percubaannya dalam kawasan penalti selepas melepasi kawalan dua pertahanan lawan diselamatkan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai aksi selepas itu apabila gerakan-gerakan dicipta cuba dilancarkan kedua-dua pasukan tidak begitu membahayakan.
Hanya percubaan Ivan Mamut hanya beberapa minit sebelum aksi babak pertama ditamatkan sedikit menguji gawang JDT tetapi ia tidak mendatangkan masalah buat Ahmad Syihan untuk menafikan rembatan tersebut.
Kedudukan berubah pada minit ke-57 selepas Bergson yang bijak menghidu hantaran lintang Arif Aiman mudah menolak masuk bola bagi mengukuhkan lagi kedudukan buat skuad kendalian Esteban Solari itu.
JDT beberapa kali cuba untuk menambah jaringan tetapi kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat juara sembilan kali Liga Super itu.