Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2022 selepas menundukkan PJ City dengan keputusan 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Baca Juga:

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu mencatatkan kemenangan 6-0 secara agregat selepas mudah mencatatkan keputusan 4-0 pada aksi pertama di Kelana Jaya tempoh hari.

Sedar memiliki kelebihan besar sebelum sepak mula permainan, Bidoglio boleh dikatakan membariskan barisan kedua dengan merehatkan sebahagian pemain utamanya.

Namun, Bergson da Silva diberikan tugasan untuk merobek gawang lawan yang dikawal Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi manakala Jordi Amat turut diturunkan bagi mengemudi jentera pertahanan bersama Muhamad Feroz Baharudin, Shahrul Saad dan Syahmi Safari.

Bergson tidak menunggu lama untuk mencetak jaringan apabila rembatannya daripada jarak jauh setelah menerima hantaran Nathaniel Shio Hong Wan membuatkan Kalamullah terpinga-pinga melihat gawangnya dibolosi seawal minit keempat.

Penyerang muda PJ City, Sunil Caven Chandran mendapat peluang untuk menguji Haziq Nadzli di gawang JDT tetapi rembatannya pada minit ke-18 sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol tuan rumah.

Memasuki minit ke-50, Daryl Sham K. George melakukan percubaan dalam kawasan penalti tetapi rembatannya berjaya ditepis keluar Kalamullah bagi menyelamatkan keadaan.

PJ City turut mendapat beberapa peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan tetapi Haziq kental bertahan mengelakkan pintu golnya daripada dibolosi.

Kesempatan itu kemudiannya digunakan oleh pemain gantian, Fernando Forestieri dengan menambah jaringan kedua JDT pada minit ke-72 selepas beliau yang tidak dikawal pemain pertahanan lawan dengan tenang melakukan sungkitan bagi menewaskan Kalamullah selepas menerima lorongan cantik daripada Bergson.

Kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk JDT menempah aksi suku akhir bertemu pemenang antara Kelantan dan Sarawak United yang sedang berlangsung.