Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memperluaskan jenama mereka apabila kali ini akan menceburi sukan perlumbaan motosikal bersama pelumba terkenal Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mulai 2024.

Pasukan JDT Racing Team akan ditubuhkan untuk beraksi di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak.

Hafizh Syahrin merupakan nama besar dalam dunia permotoran apabila pernah membuat kemunculan di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada tahun 2018 dan 2019 bersama jentera Yamaha serta KTM.

Beliau kini sedang bertanding dalam Superbike World Championship bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda Team.

Dunia permotoran tidak asing dengan pasukan JDT kerana sebelum ini mereka telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengeluar kereta mewah dari United Kingdom, Aston Martin.

Aston Martin yang merupakan juara perlumbaan Le Mans Endurance 2020 mengeluarkan rekaan edisi terhad bertema JDT untuk rangkaian kereta mereka yang akan dijual oleh kelab.

Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang.

Sebelum ini, jenama JDT telah pun menceburi bidang futsal, polo, tinju dan hoki ais, dan usaha terbaharu ini disasarkan akan mengembangkan lagi jenama JDT kepada khalayak global dan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa.