Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah ke hadapan apabila mengumumkan pembinaan stadium mini baharu untuk  menggantikan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah.

Menurut kenyataan rasmi Johor Southern Tigers, Reka bentuk stadium mini baharu itu sudah diluluskan dan kerja-kerja pembinaan dijangka akan bermula dalam masa terdekat.

“Stadium Mini Iskandar Puteri yang akan dibina di Medini, Iskandar Puteri ini mengandungi padang bola sepak, tempat duduk berbumbung, pejabat-pejabat, kedai-kedai komersil, bilik persalinan, surau dan kawasan terbuka untuk aktiviti bukan bola sepak.

“Stadium Mini Iskandar Puteri ini akan digunakan untuk perlawanan-perlawanan melibatkan Akademi JDT,” tulis kenyataan tersebut.

Pembinaan stadium ini membuktikan JDT serius untuk memastikan mereka mempunyai fasiliti yang lengkap bagi menampung pasukan utama hingga akademi.

Sebelum ini mereka mengumumkan pembinaan pusat latihan serba canggih yang akan menempatkan kesemua pasukan JDT bermula dari Akademi JDT hingga ke pasukan senior.

Lebih menarik, ia turut dilengkapi sebuah bangunan dua tingkat yang berbentuk jata JDT yang dikelilingi dengan beberapa padang bola sepak ‘outdoor’.

Bangunan itu akan menjadi ibu pejabat pusat latihan dan turut dilengkapi kemudahan fasiliti seperti gimnasium, ruang-ruang pejabat, auditorium, pusat pemulihan, kolam renang, kafeteria, ruang makan dan padang rumput tiruan ‘indoor’.

Pusat Latihan JDT yang baharu ini turut akan menempatkan pasukan senior dan junior JDT, mempunyai stadium mini, asrama akademi belia, dua padang sintetik ‘outdoor’ dan beberapa padang bola sepak.

139187615_1919595364870420_2966651595016363947_o
FOTO: JST

Semua fasiliti JDT seperti Stadium Sultan Ibrahim, Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam termasuk Stadium Mini baharu ini adalah hasil idea dan rekaan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ).