Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengumumkan hasil jualan tiket bagi semua perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada musim ini disumbangkan kepada tabung kemanusiaan Palestin.

Menurut kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards, ia adalah titah daripada pemilik kelab iaitu Tunku Ismail (TMJ) sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

Rakyat Palestin ketika ini berdepan krisis ‘pembunuhan beramai-ramai’ selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel.

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menitahkan agar kesemua kutipan tiket perlawanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri sehingga penghujung musim disalurkan ke tabung kemanusiaan Palestin.

“Kelab ini amat berdukacita dengan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa dalam peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah,” kata Alistair Edwards.

Tindakan yang dilakukan oleh JDT itu turut mendapat pujian daripada peminat bola sepak tempatan sambil mendoakan urusan rakyat Palestin dipermudahkan.

Ini bukan kali pertama JDT memberi bantuan kerana sebelum ini mereka pernah memberikan sumbangan kepada mangsa bencana banjir di Pahang dan Kelantan serta mangsa bencana gempa bumi di Sabah dengan memberi wang kemenangan Piala Malaysia.

Malah, sebahagian daripada gaji para pemain JDT pernah dipotong untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi meringankan beban mereka yang terjejas dengan wabak COVID-19 pada tahun 2020.

Semoga langkah yang dilakukan oleh JDT menjadi ikutan oleh pasukan Liga Malaysia untuk membantu meringankan beban masyarakat.