Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tekad mengulangi pencapaian menewaskan Ulsan Hyundai apabila mereka dijadualkan bertemu sebuah kelab gergasi dari Jepun, Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Ianya bukan sesuatu yang mustahil bagi skuad Harimau Selatan kerana mereka pernah menewaskan juara J.League 8 kali dan juga bekas juara ACL 2018, Kashima Antlers, 2-1 di Stadium Larkin pada tahun 2019.

Pengendali pasukan, Benjamin Mora yakin dengan kemampuan pemainnya untuk melakar satu lagi sejarah baharu walaupun sedar Kawasaki Frontale adalah kelab yang mempunyai disiplin tinggi dalam segenap aspek.

“Kawasaki adalah satu lagi kelab gergasi dalam bola sepak Asia dan kami semua tahu mindset orang Jepun, sikap profesionalisme mereka, budaya mereka dan sudah tentu mereka berjaya menerapkan semua elemen hebat ini dalam sebuah kelab.

“Tetapi pemain saya juga lebih profesional, yang tahu apa erti legasi dan sejarah kepada kami, apa ertinya kepada kelab ini, kepada peminat kami, dan juga kepada keluarga mereka.

“Ini adalah sebahagian daripada DNA JDT, dan kami tidak akan mengubah sesiapa. Kami akan menerapkan gaya permainan JDT dalam setiap perlawanan dan ini janji saya kepada semua orang selagi masih di sini,” kata Mora dipetik dalam AFC.com.

Mora turut mengesahkan JDT terpaksa melupakan khidmat penjaga gol, Haziq Nadzli yang masih dibelenggu kecederaan akibat perlanggaran dengan pemain Ulsan Hyundai, Isnin lalu dan belum membuat keputusan sama ada Izham Tarmizi atau Farizal Marlias akan diturunkan.

Farizal Marlias baru pulih daripada kecederaan di kepala ketika aksi Liga Super minggu lepas dan dijangka menjadi pilihan untuk diturunkan pada perlawanan malam ini.

“Pertama sekali, Haziq seorang pemain yang tidak pernah gagal menampilkan aksi terbaik setiap kali diturunkan tetapi esok (malam ini) dia memang tiada.

“Ketika ini, kami belum pasti sama ada Farizal atau Izham. Kami akan menilai semula dalam sesi latihan terakhir,” jelas Mora.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Chanathip Songkrasin Gerun Dengan Kelibat Safawi, Akui JDT Pasukan Yang Kuat

TERKINI: Akibat ‘Tunjal’ Kepala Bergson, Pemain Guangzhou FC Ditamatkan Kontrak, Ketua Jurulatih Dipotong Gaji 3 Bulan

Shanghai Port Tarik Diri Daripada ACL 2022, Hanya Tiga Pasukan Tempat Kedua Terbaik Mara Ke Pusingan 16