Johor Darul Ta’zim (JDT) kini hanya memerlukan satu mata lagi daripada baki enam perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super musim 2023.

Baca Juga:

Ianya berlaku selepas Harimau Selatan mengutip 3 mata selepas berpesta gol menewaskan Perak 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Skuad kendalian Estabian Solari itu mencipta rekod luar biasa pada musim ini apabila masih belum tewas dalam 20 perlawanan yang diharungi tanpa keputusan seri.

Juara Piala FA 2023 itu kini gah di persada liga dengan 60 mata meninggalkan jauh pasukan di tempat kedua iaitu Selangor (43 mata) dan pasukan di tangga ketiga, Kedah (40 mata).

JDT kemungkinan dinobatkan sebagai juara Liga Super 2023 pada perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman pada 26 Ogos ini. Mereka dijangka tiada masalah untuk mengutip 3 mata penuh sekaligus meneruskan rentak kemenangan tanpa seri.

Jika bergelar juara, JDT akan cipta satu lagi sejarah mendominasi saingan liga utama selama 1 dekad dengan muncul sebagai juara Liga Super kali ke 10 berturut-turut sejak 2014.

“Misi belum selesai untuk mencipta sejarah mendominasi 1 dekad. Kami adalah pencipta sejarah dan peneraju dalam setiap aspek. Ini adalah satu fakta dan bukan cerita dongeng atau halusinasi,” kata pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Selain itu, Harimau Selatan juga layak beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) untuk musim 2024/2025 manakala tempat kedua Liga Super akan ke saingan Piala AFC.

Setakat ini, masih belum ada mana-mana pasukan Liga Super yang berjaya memecahkan dominasi mereka sehingga sekarang.

Berdasarkan persembahan awal musim ini, JDT tampak sukar digugat dan tidak mustahil trofi Liga Super akan terus berada dalam tangan Harimau Selatan pada musim depan.