Kemenangan berterusan dalam empat perlawanan terakhir Liga Super tetap ditagih Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun telah mengesahkan kejuaraan meraih trofi buat kali kesembilan berturut-turut musim ini.
Baca Juga:
- JDT Sah Juara Liga Super 2022, Sapu Bersih Semua Piala
- Bergson Tidak Berminat Fikir Tentang Pemain Pasukan Lain
- JDT Akan Tubuh Pasukan Futsal Mulai Tahun Depan
Kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC dan kekalahan Sabah FC kepada Terengganu FC pada Sabtu lalu menyaksikan JDT bergelar juara apabila kini menghuni takhta liga dengan 46 mata ketika ini.
Walaubagaimanapun, penyerang JDT, Bergson da Silva menyifatkan dia dan barisan pemain lain tetap dahagakan kemenangan dalam perlawanan seterusnya kerana mahu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah musim ini.
Baginya, semangat JDT tetap tinggi untuk meneruskan persembahan yang cemerlang walaupun pasukan telah mengesahkan kejuaraan lebih awal.
Dan pastinya aksi akan datang bukan mudah apabila JDT akan berkunjung ke Stadium Darul Aman menentang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, malam ini.
“Sekarang ini rasa sangat bagus apabila kami sudah juara dan seperti biasa apa yang penting adalah bagaimana pasukan ini bermain.
“Persembahan yang dilakukan (lawan Negeri Sembilan) cukup baik di separuh masa pertama dan kedua di mana saya rasa kami semakin baik bermain di separuh masa kedua.
“Kami melakukan segalanya untuk meraih kejayaan ini, tetapi kami ada empat lagi perlawanan dan pasukan kena bermain dengan profesional memandangkan liga masih lagi belum berakhir”, jelasnya kepada MFL.
Kemenangan berterusan dalam empat perlawanan terakhir Liga Super tetap ditagih @OfficialJohor meskipun telah mengesahkan kejuaraan meraih trofi buat kali kesembilan berturut-turut musim ini.#LigaSuper2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 3, 2022
Nyata, lima jaringan di Stadium Sultan Ibrahim itu turut hadir daripada penyerang dari Brazil ini yang berjaya meledak dua gol menjadikan Bergson kekal selaku Penjaring Terbanyak Liga Super dengan 24 jumlah gol setakat ini.
Namun, baginya yang menjadi keutamaan dan kebanggan adalah gelaran juara yang berjaya diraih selain akan tetap membantu JDT mendapatkan kemenangan selepas ini.
“Apa pun, trofi dan gelaran juara itu yang lebih penting untuk saya secara peribadi sepertimana yang saya pernah cakap sebelum ini.
“Paling utama adalah pasukan dan kerjasama daripada semua pemain dan itu yang selalu kami lakukan di atas padang”, tambahnya.