Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengumumkan jalinan kerjasama bersama syarikat perabut terkemuka, IKEA Tebrau dan Pusat Beli-belah Toppen.

Baca Juga:

Kerjasama tersebut adalah untuk menyemarakkan minat terhadap bola sepak dan memperkukuh hubungan komuniti dalam persekitaran suasana bola sepak yang berkembang pesat di Johor.

Pusat beli-belah Toppen bakal menjadi destinasi kepada rumah kelab penyokong khusus di atas bumbung terbukanya — The Topp yang dijadualkan dibuka pada awal 2024 dan akan menampilkan gudang barangan dan ruang yang direka khusus untuk penyokong JDT berhimpun di luar stadium.

Toppen juga sedang dalam proses untuk mendapatkan hak penyiaran secara langsung semua perlawanan JDT sekaligus akan menjadikannya destinasi tunggal di Johor selain Stadium Sultan Ibrahim yang membolehkan penyokong menikmati siaran langsung perlawanan JDT secara konsisten bersama-sama.

FOTO: JDT

Sementara itu, IKEA Tebrau sedang memuktamadkan konsep unik yang menawarkan para penyokong peluang untuk menikmati makanan IKEA kegemaran mereka sambil menghayati inspirasi perabot rumah di Stadium Sultan Ibrahim.

Kerjasama ini juga merangkumi penyelesaian reka bentuk IKEA for Business bagi kawasan-kawasan penting di Stadium Sultan Ibrahim selain promosi khas untuk penyokong Harimau Selatan di IKEA Tebrau.

Ianya selaras dengan wawasan yang dikongsi bersama ketiga-tiga pihak untuk menggalakkan komuniti menjalani gaya hidup yang aktif dengan menjadikan sukan dan rekreasi lebih mudah diakses oleh orang ramai.

FOTO: JDT

CEO JDT, Alistair Edwards berkata, kerjasama ini menjadikan hubungan Harimau Selatan dan para penyokong menjadi lebih erat.

“JDT berasa gembira untuk bekerjasama dengan IKEA Tebrau dan Toppen dalam misi bersama kami dalam menyatupadukan komuniti menerusi kuasa sukan.

“Kerjasama ini bukan hanya mengenai perlawanan sukan, malah juga mengenai usaha mencipta rasa kekitaan dan keterujaan untuk para peminat kami,” jelasnya.

IKEA dan Toppen menyertai senarai entiti dan jenama antarabangsa yang menjalin kerjasama dengan JDT. Antara jenama dan entiti tersebut ialah Nike, Aston Martin, UNICEF dan Socios.com.