Johor Darul Ta’zim (JDT) kini hanya memerlukan satu mata lagi daripada baki lima perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super musim 2023.

Baca Juga:

Kejuaraan liga sepatutnya dikecapi Harimau Selatan lebih awal ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 26 Ogos lalu tapi tertangguh selepas mencatat keputusan seri 3-3.

Mereka bakal bertemu PDRM pada malam esok di Stadium Sultan Ibrahim dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

Bagaimanapun, pengendali JDT, Esteban Solari enggan memburu keputusan seri sebaliknya mengerahkan anak buahnya untuk mencatat kemenangan sekaligus mencipta sejarah di hadapan ribuan penyokong sendiri.

“Secara matematik, kita hanya perlu seri dengan PDRM FC tapi itu bukan yang kita mahu sebaliknya menang untuk menjulang piala kali ke-10 berturut-turut dan pastinya kami enggan melepas peluang terbaik cipta sejarah di hadapan penyokong sendiri.

“Sememangnya kami tidak sabar untuk perlawanan itu kerana sasaran menang liga juara semakin hampir tapi kami tetap berhati-hati dengan penampilan pasukan lawan yang mula menunjukkan peningkatan di bawah jurulatih baharu,” kata Solari.

JDT mencipta rekod menakjubkan pada musim ini apabila masih belum tewas dalam 21 perlawanan yang diharungi.

Mereka juga telah memecahkan hampir setiap rekod domestik — daripada rekod jaringan, kemenangan berterusan dan ‘cleansheets’ hingga kempen tanpa kalah dalam memenangi kesemua empat trofi domestik yang ditawarkan.

Juara Piala FA 2023 itu kini gah di persada liga dengan 61 mata meninggalkan jauh pasukan di tempat kedua iaitu Selangor (49 mata) dan pasukan di tangga ketiga, Kedah (44 mata).

Jika bergelar juara, JDT akan cipta satu lagi sejarah mendominasi saingan liga utama selama 1 dekad dengan muncul sebagai juara Liga Super kali ke 10 berturut-turut sejak 2014.

Setakat ini, masih belum ada mana-mana pasukan Liga Super yang berjaya memecahkan dominasi mereka sehingga sekarang.

Berdasarkan persembahan musim ini, JDT tampak sukar digugat dan tidak mustahil trofi Liga Super akan terus berada dalam tangan Harimau Selatan pada musim depan.