Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dikenakan hukuman denda berjumlah RM120,000 atas tindakan penyokongnya menyalakan suar pada tiga perlawanan Liga Malaysia 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman, surat hukuman denda bagi kesalahan-kesalahan tersebut sebenarnya sudah dihantar ke JDT pada 31 Mei 2023 untuk memaklumkan keputusan yang telah diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu pada 30 Mei 2023.

“Bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lwn Sabah FC pada 31 Mac 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya melakukan pembakaran suar dalam anggaran sebanyak 10 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Seterusnya, bagi perlawanan Liga Super 2023, JDT lwn Kedah Darul Aman FC pada 9 April 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya membakar suar secara serentak dengan jumlah lebih kurang 30 unit dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.

“Sementara bagi perlawanan Piala FA 2023, JDT lwn PDRM FC pada 14 April 2023, JDT telah didenda RM30,000 akibat tindakan penyokongnya menyalakan 29 unit suar secara serentak dan didenda RM10,000 kerana JDT telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong,” kata Noor Azman.

Noor Azman turut menjelaskan sudah menjadi amalan Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tidak mengeluarkan kenyataan media selepas segala bentuk hukuman diputuskan.

“Dengan pemakluman ini, diharap ia dapat memberi penjelasan kepada umum bahawa tindakan dan hukuman telah pun diambil oleh FAM bagi kesalahan membakar dan menyalakan suar yang sememangnya masih dikuatkuasakan dalam Kod Tatatertib FAM.

“Adalah sekarang menjadi amalan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat,” tambah Noor Azman.