Pernahkah anda terfikir satu hari nanti kita bakal menyaksikan kelibat pasukan dari Malaysia berada dalam permainan video bola sepak yang popular dunia seperti FIFA dan Pro Evolution Soccer (PES)?
Impian itu bakal menjadi kenyataan apabila juara Liga Super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) kemungkinan akan dimasukkan dalam PES 2020 melalui slot AFC Champions League (ACL) memandangkan penerbit permainan video itu, Konami difahamkan masih memegang lesen eksklusif kejohanan kelab bola sepak paling berprestij di benua Asia tersebut.
Seperti yang kita tahu, JDT merupakan satu-satunya kelab dari Liga Malaysia bertanding dalam saingan AFC Champions League musim ini. Sejak tahun 2014, Konami sentiasa menampilkan 32 pasukan terbaik dari seluruh Asia yang berjaya layak ke peringkat kumpulan secara merit di kejohanan AFC Champions League pada musim sebelumnya.
Untuk edisi PES 2020, JDT dijangka akan dimasukkan ke dalam permainan tersebut menggantikan tempat kelab dari Hong Kong, Kitchee FC yang membuat penampilan sulung pada musim 2018.
Bagaimanapun, sehingga kini, Konami belum mengumumkan senarai rasmi pasukan yang terlibat dalam PES 2020 walaupun mereka telah memperbaharui lesen AFC Champions League tahun lepas. Ianya menjadi teka-teki dalam kalangan peminat bola sepak Asia sama ada mereka masih memegang lesen eksklusif tersebut untuk musim depan.
Jika benar, JDT bakal mencipta satu lagi sejarah apabila menjadi kelab pertama dari Malaysia yang dimasukkan secara rasmi dalam permainan video dari Jepun itu sejak kali terakhir Liga Malaysia tampil dalam FIFA 98 keluaran EA Sports.
Mengenai Pro Evolution Soccer 2020
Pro Evolution Soccer (PES) mula menjadi pencabar terkuat FIFA bermula pada tahun 1996 dengan menggunakan nama Winning Eleven untuk pasaran Asia. Sejak itu, PES dan FIFA sentiasa bersaing hebat mempromosi gaya permainan mereka namun PES tewas dari segi perlesenan pasukan dimana EA Sports telah monopoli hak perlesenan semua liga utama di dunia.
Namun, pada edisi 2020, PES bakal tampil dengan corak permainan yang lebih realistik setelah mendapat pandangan daripada pakar bola sepak.
And that's not all you get of him! 😏
Pre-order #eFootballPES2020 and get young @andresiniesta8 on a 10 match loan in #myClub 😎
👀 https://t.co/ylbWiGvqSu pic.twitter.com/UhNobazbD3
— eFootball (@play_eFootball) June 11, 2019
Antara pembaharuan yang terdapat dalam permainan video itu ialah:
- Pihak Konami telah melantik bekas bintang Barcelona, Andres Iniesta sebagai penasihat teknik menggelecek yang bakal memberi keseronokan tambahan kepada pemain dan seterusnya menguji kreativi mereka dalam corak permainan. Teknik tersebut digelar sebagai ‘Finesse Dribbling’.
- Cara bertahan yang lebih realistik dan penambahbaikan animasi ‘sliding tackle’.
- Postur badan dan posisi di atas padang akan mempengaruhi setiap sepakan yang dilakukan oleh pemain.
- Penambahbaikan daripada segi fizikal bola sepak dimana pemain boleh melakukan ‘first touch’ yang lebih tepat dan diberi kebebasan untuk mengawal bola.
- Pelbagai skill baharu diperkenalkan untuk memberi kepuasan kepada pemain memperdayakan lawan dengan mudah.
https://www.youtube.com/watch?v=_89i5H1zAeU
Untuk pengetahuan anda, pada tahun ini, Konami telah memperkenalkan judul baharu yang dikenali sebagai “eFootball PES 2020”. Difahamkan mereka mahu meletakkan fokus lebih besar kepada e-sports untuk terus maju ke hadapan. Mereka juga dalam perancangan untuk mengadakan lebih banyak pertandingan seperti PES League dan eFootball Pro iaitu pertandingan antara kelab profesional.
eFootball PES 2020 akan dilancarkan secara rasmi pada 10 September 2019 untuk platform PC, PS4 dan Xbox One. Buat masa ini, anda boleh melakukan ‘pre order’ menerusi laman facebook, PES Malaysia sebelum tarikh pelancaran sebenar.