Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal melancarkan JDT Fan Token rasmi mereka di aplikasi penglibatan dan ganjaran Socios.com pada 5 Julai ini.

Baca Juga:

Socios.com adalah sebuah platform aplikasi yang menjadi penghubung dan memberi peluang ganjaran kepada penyokong dengan skuad Harimau Selatan menjadi pasukan pertama di Malaysia menjalin kerjasama bersama pihak terbabit.

Fan Tokens adalah aset digital yang membolehkan penyokong mengakses komuniti bagi mana-mana pertandingan, undian kelab, ‘prediction’ dan pelbagai lagi ciri-ciri boleh memberi akses kepada ganjaran termasuk barangan cenderahati kelab, tiket-tiket VIP dan pengalaman kelab unik tidak akan dilupakan.

Menerusi kerjasama ini penyokong JDT boleh menembus ganjaran melalui $JDT Fan Tokens di Socios.com.

50,000 $JDT Fan Tokens akan tersedia di aplikasi penglibatan dan ganjaran Socios.com melalui ‘Fan Token Offering’ (FTO®️) yang akan bermula pada jam 6.00 petang waktu tempatan (GMT+8).

Sebagai rekod, kerjasama dengan Socios.com terjalin menerusi satu sidang media yang berlangsung, September tahun lalu

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah pihaknya berbangga dengan kerjasama itu yang dapat membawa penyokong lebih dekat dengan kelab berkenaan.

Titahnya, kerjasama itu secara tidak langsung memberi peluang kepada kelab untuk terus berkembang sekali gus menjadikan JDT dikenali di mata dunia.

“Kerjasama ini memberi kami peluang untuk berkembang lagi dan mempromosikan nama JDT di seluruh dunia terutama dalam industri sukan bola sepak.

“Jadi, kami ada kelebihan yang mana ia akan memperkukuhkan dari segi kewangan dan promosi nama JDT di peringkat antarabangsa. Saya rasa ini satu deal (perjanjian) paling hebat sekali dalam industri sukan bola sepak negara,” titah baginda.