Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam aksi pra musim apabila tewas 2-0 ketika perlawanan persahabatan menentang kelab dari Rusia, FC Rostov di padang bola sepak Ritz Carlton, Abu Dhabi, UAE.

Baca Juga:

Dalam perlawanan ini, JDT menurunkan barisan terbaik dalam kesebelasan utama termasuk gandingan Bergson, Fernando Forestieri dan Arif Aiman di bahagian serangan.

Manakala Afiq Fazail, Leandro Velaquez serta Hong Wan beraksi di bahagian tengah. Pengendali baharu Harimau Selatan, Esteban Solari mengekalkan tonggak utama di benteng pertahanan dengan menurunkan Corbin Ong, Jordi Amat, Shahrul Saad dan Matthew Davies. Farizal Marlias turut beraksi sebagai penjaga gol.

Ini merupakan perlawanan pertama JDT setelah berehat hampir 2 bulan dan mereka masih dalam proses untuk mendapatkan kembali kecergasan di tahap terbaik sambil menyesuaikan diri dengan taktikal baharu Esteban Solari.

FC Rostov yang kini menghuni kedudukan ketiga dalam Liga Premier Rusia di belakang Zenit St Petersburg dan Spartak Moscow terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi Yegor Golenkov yang menolak masuk bola hantaran Dmitry Poloz pada minit ke 39.

Jaringan itu berpunca daripada kegagalan Matthew Davies merantai pemain sayap kiri FC Rostov, Dmitry Poloz sehingga membuka ruang kepada pemain tersebut melakukan hantaran cantik.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh JDT dan Rostov memiliki kelebihan dari segi fizikal untuk mengekang pergerakan jentera serangan Harimau Selatan. Peluang terbaik hadir menerusi sepakan percuma Forestieri namun rembatannya tersasar.

Kelekaan benteng pertahanan JDT dimanfaatkan oleh FC Rostov apabila Golenkov sekali lagi menambah gol kedua pada minit ke 45 melalui situasi kelam kabut dalam kawasan kotak penalti. Keputusan 2-0 memihak kepada FC Rostov sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, JDT melakukan beberapa pertukaran pemain dan tonggak import dari Sepanyol, Juan Muniz diturunkan buat kali pertama untuk memperkuatkan jentera tengah bersama Safiq Rahim.

3 rangkaian serangan iaitu Bergson, Forestieri serta Arif Aiman turut dikeluarkan dan tempat mereka diganti Akhyar Rashid, Diogo Luis Santo dengan seorang lagi pemain import baharu, Oscar Arribas.

Solari juga dilihat mencuba formasi 3-5-2 dengan Syahmi Safari beraksi di posisi pemain tengah kanan manakala Danial Amier sempat diturunkan menggantikan tempat Hong Wan sebagai pemain tengah bertahan.

Bagaimanapun, mereka tidak berjaya mencari jaringan penyamaan dan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, JDT bakal menentang kelab dari UAE dalam perlawanan persahabatan yang dijadualkan berlangsung pada 28 Januari. Kemudian, mereka akan bertemu kelab dari Bulgaria, FC Levski Sofia (31 Januari) dan dua gergasi Rusia iaitu FC Lokomotiv Moscow (2 Februari) serta FC Zenit ST. Petersburg (6 Februari).