Penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad kembali menemui sentuhan jaringan di peringkat tertinggi apabila beliau baru-baru ini menyumbang dua gol ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Perak pada perlawanan kedua separuh akhir saingan Piala Malaysia 2023.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pengendali pasukan meletakkan Syafiq di bangku simpanan dan dimasukkan pada separuh masa kedua ketika JDT sudah mendahului 5-0.

Bekas pemain Kedah Darul Aman itu tidak mensia-siakan peluang apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-62 dan 78 sekaligus membantu JDT mara ke perlawanan akhir untuk dua musim berturut-turut.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) ada memberi pesanan kepada ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon untuk memanggil Syafiq Ahmad dan seorang lagi pemain, Syahmi Safari.

“Saya ingin pesan kepada Pan-gon jangan lupa kepada Syafiq dan Syahmi. Dua pemain ini patut ada di pertahanan kanan untuk cover Matthew Davies dan Syafiq sebagai penyerang.

“Kalau nak kata minit perlawanan, Akhyar Rashid kurang minit perlawanan sebab tempat dia di JDT adalah Fernando Forestieri, tetapi apabila main bersama Harimau Malaya, dia menyerlah dan jaringkan gol,” katanya.

Ketika ini, pasukan negara hanya mempunyai Darren Lok sebagai penyerang tulen dan penyerang Sabah ini sentiasa menjadi pilihan Pan-gon untuk mengetuai barisan serangan pasukan negara.

Selepas mempamerkan kebangkitan, wajar sekiranya Pan-gon memanggil Syafiq untuk menjadi sandaran sekiranya Darren mengalami kecederaan selain memberi saingan kepada pemain kacukan itu.

Kali terakhir Syafiq beraksi bersama skuad kebangsaan ialah ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan pada Mac lalu dimana beliau dimasukkan sebagai pemain gantian.