Johor Darul Ta’zim (JDT) menarik nafas lega apabila sepakan penalti pada masa kecederaan membantu juara bertahan tersebut bangkit daripada ketinggalan dua jaringan untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Perak FC di Stadium Perak, Ipoh.
Penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy jelas menjadi watak utama pada perlawanan ini apabila aksi tangkasnya menghalang JDT daripada menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan ini.
Satu mata yang diraih itu juga bermakna sudah dua perlawanan berturut-turut skuad bimbingan Benjamin Mora tersebut gagal untuk meraih kemenangan.
Dalam keghairahan pasukan memberikan asakan sebaik sahaja aksi bermula, De Paula menggunakan kesempatan dimiliki apabila beliau dengan tenang menolak masuk bola pada minit ke-34 setelah menerima umpanan hasil serangan balas dilakukan Mohamad Izzudin Roslan.
Skrip yang sama berulang pada babak kedua apabila ketika JDT ghairah memburu jaringan, De Paula sekali lagi membalas kritikan dilemparkan para penyokong Perak terhadap aksi ditampilkannya sebelum ini.
Berpunca daripada hantaran jauh Sergio Aguero, pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu berlari pantas menuju ke gawang JDT dan kemudiannya meledakkan rembatan yang sekali gus sekali lagi menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-59.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut, JDT tampil dengan lebih berbahaya dimana kemasukan Akhyar Rashid dilihat menambah bisa apabila beliau merapatkan defisit jaringan pada minit ke-74.
Enam minit masa kecederaan yang diberikan jelas memberi peluang buat JDT untuk menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-94 menerusi jaringan sepakan penalti Leandro Velasquez.
Sepakan tersebut diberikan susulan bola terkena tangan pemain gantian, Rafiuddin Roddin ketika cuba untuk menyaingi bola udara bersama Aidil Zafuan Ab Radzak dalam kawasan penalti.
Keputusan 1-1 itu menyaksikan JDT terus kekal di tangga teratas selepas pencabar terdekat, Terengganu FC tewas pada perlawanan bertemu Sabah FC dengan keputusan 1-2.