Pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan apabila berjaya menundukkan Kedah 1-0 pada aksi ke-12 kempen Liga Super Malaysia 2021, sebentar tadi.
Berkunjung ke Stadium Darul Aman nyata bukanlah tugas yang mudah buat skuad bimbingan Benjamin Mora itu apabila mereka memerlukan jaringan sepakan penalti pada lewat permainan serta KDA turut memberikan tekanan hebat dalam usaha mereka untuk turut meraih kemenangan.
Ia jelas dibuktikan apabila anak buah Aidil Sharin Sahak menguji gawang JDT yang dikawal Farizal Marlias seawal minit kelima menerusi pemain import, Rabih Ataya.
Bagaimanapun, perancang kreatif kelahiran Lebanon itu kecewa selepas percubaannya ketika menerima hantaran lintang Kpah Sherman hanya singgah di tiang gol sebelah kanan JDT.
Berselang enam minit kemudian, giliran Safawi Rasid pula mendapat peluang terbaik tetapi percubaannya dalam kawasan penalti setelah menerima umpanan jauh menarik daripada rakan sepasukannya dihalang penjaga gol, Shahril Sa’ari.
Safawi sekali lagi memberikan ancaman buat KDA pada minit ke-21, namun percubaan leret ketika situasi sepakan percuma diledakkannya terus ke dakapan penjaga gol berusia 31 tahun itu.
Nasib jelas tidak menyebelahi Kedah pada perlawanan ini setelah tandukan Kpah Sherma setelah menerima umpanan sepakan percuma Ataya terkena palang gol pada minit ke-41.
Memasuki babak kedua, para pemain kedua-dua pasukan berusaha keras untuk memecah kebuntuan tetapi usaha yang dijelmakan masih belum mampu untuk mendapatkan jaringan.
Keputusan tersebut bagaimanapun berubah ketika perlawanan memasuki masa kecederaan apabila pemain gantian, Mohamadou Sumareh dikasari Renan Alves bagi membolehkan JDT dihadiahkan sepakan penalti.
Bergson Da Silva yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92.
Kejayaan meraih tiga mata ke atas Kedah itu menyaksikan JDT kembali mencatatkan kemenangan selepas hanya mencatatkan dua keputusan seri dan satu kekalahan pada tiga perlawanan terakhir.