Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) lakar kejutan apabila menewaskan kelab Liga Premier Rusia, Lokomotiv Moscow 1-0 dalam aksi pra musim yang berlangsung di Stadium The Sevens, Dubai.
Baca Juga:
- Sharjah FC Tawar Fasiliti Latihan Percuma Untuk Kegunaan JDT
- JDT Disenarai Dalam 15 Kelab Terbaik Asia
- Khairy Jamaluddin Berminat Dengan Jawatan CEO JDT?
Ia merupakan kemenangan ketiga mereka selepas mengharungi 4 perlawanan persahabatan sepanjang berada di sana. Sebelum ini, mereka menewaskan kelab UAE, Fursan Hispania 3-0 dan mendahului 1-0 ketika menentang kelab Bulgaria, FC Levski Sofia sebelum ditamatkan lebih awal akibat pergaduhan.
Dalam perlawanan ini, JDT menurunkan barisan terbaik dalam kesebelasan utama termasuk gandingan Bergson, Fernando Forestieri dan Arif Aiman di bahagian serangan.
🔥 Warm-up complete, kick-off awaits ⚽#JDTinDubai #Preseason #WhatCanYouDo #LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/5Pog5nCZsS
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) February 2, 2023
Manakala Afiq Fazail, Juan Muniz serta Hong Wan beraksi di bahagian tengah. Pengendali baharu Harimau Selatan, Esteban Solari turut menurunkan Syihan Hazmi sebagai penjaga gol sambil dibantu oleh barisan pertahanan seperti Jordi Amat, Feroz Baharudin, Matthew Davies dan Oscar Arribas.
Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan tanpa jaringan kerana kedua-dua pasukan bermain dengan agak berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kesilapan mudah.
Bergson berpeluang menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma namun rembatannya tersasar. Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan kerana Foriestieri dan Arif Aiman dikawal dengan ketat.
Malah, barisan pertahanan JDT juga cemerlang membaca setiap pergerakan penyerang lawan dan berjaya memastikan gawang tidak mudah bolos sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, JDT bangkit lebih garang dan berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi rembatan Arif Aiman pada minit ke 56.
Jaringan tersebut terhasil menerusi serangan balas dan bola hantaran Forestieri berjaya disudahkan oleh Arif Aiman yang melakukan larian solo sehingga memperdayakan benteng pertahanan Lokomotiv Moscow.
Pada minit ke 73, Nazmi Faiz nyaris menjaringkan gol kedua JDT namun percubaannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Lokomotiv Moscow.
Pasukan lawan juga buntu mencari jaringan penyamaan kerana barisan pertahanan JDT cukup berdisiplin menyekat setiap gerakan mereka. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini skuad Harimau Selatan dijadualkan menentang Juara Liga Premier Rusia, FC Zenit ST. Petersburg pada 6 Februari. Ini adalah perlawanan menarik yang pasti ditunggu-tunggukan oleh para peminat setia JDT.
Kemudian mereka akan pulang ke tanah air membuat persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Liga Malaysia 2023 bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan.
Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari depan.