Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan mereka kini dalam proses untuk menaturalisasikan pemain pertahanan kelahiran Belanda, Jay Idzes.

Baca Juga:

Idzes kini beraksi bersama kelab Serie B Italy, Venezia dan memiliki minit permainan yang tinggi sekaligus menguatkan alasan PSSI untuk mendapatkan pemain itu bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan Indonesia dalam saingan Piala Asia 2023.

Presiden PSSI, Erick Thohir turut mengesahkan perkembangan tersebut dan sempat bertemu pemain yang berusia 23 tahun itu.

“Saya mengumumkan bahawa pemain Kelab Venezia, Jay Idzes akan kita proses untuk memperkuat Merah Putih di peringkat antarabangsa untuk garuda mendunia,” tulis Erick menerusi laman instagram.

Idzes yang mempunyai ketinggian 1.90 cm turut memiliki darah keturunan Indonesia sebelahnya neneknya.

Walaupun turut berpeluang menyarung jersi Belanda, namun beliau memilih untuk menyertai Indonesia kerana mahu beraksi di pentas antarabangsa lebih kerap.

“Idzes yang masih berusia 23 tahun juga diburu skuad Belanda. Namun dia memilih peluang bersama timnas Indonesia yang lebih memungkinkannya rutin bermain di level negara,” tulis kenyataan rasmi PSSI.

Dengan kehadiran Idzes, Indonesia yang dibimbing oleh Shin Tae-yong kini memiliki barisan pertahanan cukup mantap selepas kehadiran Jordi Amat, Elkan Baggot, Rizky Ridhi dan Kadek Arel.

Jay Idzes sebelum ini pernah beraksi bersama FC Eindhoven dengan 57 penampilan. Beliau kemudian menyertai Go Ahead Eagles pada musim 2020 hingga 2023. Di sini posisinya berubah daripada pemain tengah kepada pertahanan tengah.

Bersama Go Ahead Eagles, beliau sempat merasai pentas tertinggi bola sepak Belanda dengan 53 penampilan.

Venezia kemudian mengikatnya sehingga musim 2027 dan Idzes sudah beraksi dalam 4 perlawanan serie B dan sempat bertanding di Coppa Italia menentang Spezia.