Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa FIFA menentang jaguh dunia dalam usaha meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan negara itu.

Baca Juga:

Menurut laporan daripada CNN Indonesia, wakil ketua umum PSSI, Zainudin Amali mengesahkan pihaknya telah menghubungi Brazil dan Morocco selain Portugal bagi menguji kemampuan skuad kendalian Shin Tae Yong.

Minggu lepas, pasukan itu mencuri tumpuan peminat bola sepak Asia Tenggara apabila berpeluang menentang juara Piala Dunia 2022, Argentina di Stadium Gelora Bung Karno.

“Ada yang tanya selepas Argentina, rancangannya apa lagi? Saya kata, sudah pasti la ada kerana ketua umum pak Erick mahu membuat mental anak-anak kita diuji, sudah tentu diuji dengan pasukan (ranking) atas.

“Ya, banyak lah. Dengan salah satu Brazil ya, Morocco pun ya. Bukan saya kata sudah pasti bertemu Portugal,” jelas Zainudin Amali.

Bagaimanapun Amali juga menjelaskan proses menjemput pasukan ranking tertinggi dunia itu tidak mudah kerana perlu mengambil pelbagai perkara termasuk jadual pertandingan. 

“Tapi kalau ditanya bagaimana? Ya pak Ketua Umum [Erick Thohir] sudah komunikasi dengan berbagai pihak. Sekali lagi saya nyatakan tidak ada yang menyatakan sudah pasti,” tambah beliau.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan Ketua Umum PSSI, Erick Thohir mendapat reaksi positif daripada Persatuan Bola Sepak Brazil, Morocco dan Rusia untuk mengaturkan aksi persahabatan.

“Saya sudah hubungi Morocco, Brazil, Portugal serta Rusia dan mendapat respons positif. Tetapi kita hanya boleh lawan satu pasukan dalam setahun.

“Jadi, kita harus mempersiapkan pasukan kebangsaan untuk meraih mata ranking FIFA,” kata Erick Thohir.