Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan rentak konsisten selepas mara ke separuh akhir kejohanan badminton Indonesia Masters 2023 yang berlangsung di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.
Baca Juga:
- Indonesia Masters 2023: Aaron Chia-Soh Wooi Yik Tersingkir Di Suku Akhir
- Ranking Aaron-Wooi Yik & Pearly-Thinaah Melonjak, Lee Zii Jia Turun Ke Tangga Keempat
- Terbuka Malaysia 2023: Pearly Tan-Thinaah Tersingkir Awal
Mereka yang kini menghuni tangga keenam ranking dunia itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil dari China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan dengan kemenangan ‘straight set’ 21-10, 21-12.
Ia juga merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan yang menyaksikan jurang cukup ketara berdasarkan ranking mereka.
Berdepan lawan yang berada di kedudukan ke-93 dunia, gandingan negara itu jelas tidak menghadapi banyak masalah dan mudah mencatatkan kemenangan set pertama 21-10.
Memasuki set kedua, Wen Mei dan Xuan Xuan tampil dengan lebih baik untuk memberikan saingan dimana aksi kejar-mengejar mata dapat disaksikan sebelum rehat ‘interval’.
Namun, pengalaman serta kualiti yang lebih baik dimiliki Pearly dan Thinaah cukup untuk menceritakan segalanya bagi kemenangan 21-12 untuk membawa mereka ke separuh akhir.
Lebih manis untuk diperkatakan, ia merupakan aksi separuh akhir kali kedua berturut-turut ditempah oleh pasangan tersebut selepas mereka melakukannya pada Terbuka India minggu lalu. Namun, perjalanan mereka pada ketika itu terhenti selepas tunduk kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Pemenang pertemuan Sayaka Hirota-Yuki Fukushima (Jepun) menentang gandingan daripada pusingan kelayakan, Tanisha Crasto-Ashwini Ponnapa dari India akan menjadi lawan buat Pearly-Thinaah, esok.