Hasrat untuk melihat Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara lebih jauh dalam kejohanan Indonesia Masters 2023 tidak kesampaian apabila beregu nombor dua dunia itu tewas di peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Indonesia Masters 2023: Ng Tze Yong Mudah Tundukkan Vittinghus Untuk Ke Pusingan Kedua
- Terbuka India 2023: Aaron Chia-Soh Wooi Yik Tewas Di Final
- Terbuka Malaysia 2023: Aaron Chia-Soh Wooi Yik Lepasi Cabaran Awal
Pada aksi yang berlangsung di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas bertemu wakil dari China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong 17-21, hanya dalam tempoh masa 28 minit.
Aaron-Wooi Yik bagaimanapun memulakan aksi dengan bertenaga apabila mendahului 11-8 tetapi pasangan yang berada di tangga ke-21 ranking dunia itu bangkit dengan garang untuk mencatatkan kemenangan 21-17.
Kemenangan itu jelas meningkatkan moral gandingan tersebut untuk meneruskan kecemerlangan dengan aksi kemas daripada segenap aspek sehingga berjaya mencatatkan kemenangan mudah bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Menanti mereka di separuh akhir ialah pemenang antara aksi yang menemukan pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Rian Ardianto (Indonesia) dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.
Kekalahan Aaron dan Wooi Yik ini menambah cerita kurang enak dalam sektor beregu lelaki negara selepas gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzudin secara rasminya berpisah, semalam.
Sementara itu sandaran kem negara dalam Indonesia Masters yang bertaraf Super 500 ini diletakkan kepada gandingan Pearly Tan-M. Thinaah yang akan berdepan Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan (China).
Manakala, pasangan kekasih, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula akan bertemu Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis, sebentar nanti.