Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan di Bernama menjelaskan sebarang hukuman atau tindakan terhadap pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh hanya akan dibuat selepas mendapat keputusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sumareh sebelum ini mencetus kontroversi apabila meninggalkan pasukan Pahang tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan.
“FAM dalam kedudukan bersedia menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan FIFA sama ada mereka mendengar laporan Sumareh itu ataupun tidak, atau mereka tolak semula laporan itu kepada FAM. Kalau kes itu sudah dalam proses FIFA kita hanya boleh tunggu sampai ia berakhir.
“Soal FIFA nak ambil atau tidak kes itu bergantung sebab kebiasaannya hanya pemain asing boleh bawa kes ke FIFA dan bila melibatkan pemain tempatan prosesnya di dalam negara. Dalam konteks Sumareh, beliau didaftarkan sebagai pemain tempatan,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman mengesahkan pihaknya akan heret kes Sumareh ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya.
Oleh sebab itu, FAM kini sedang menunggu badan induk bola sepak dunia itu untuk mendengar kes Sumareh sebelum membuat sebarang tindakan.
“FAM mesti tunggu sehingga FIFA habiskan proses itu baru FAM boleh ambil alih, itu pun kalau dapat kebenaran mereka. Kalau tidak, mungkin FIFA klasifikasikan ia sebagai kes istimewa yang mereka ingin juga dengar,” jelasnya.
Sumareh yang masih mempunyai kontrak dengan Pahang sehingga tahun 2022 mengambil tindakan keluar daripada skuad tok gajah kerana dikatakan tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan.
Bagaimanapun, PBNP menafikan pemain naturalisasi itu tidak dibayar gaji kerana semua urusan pembayaran sudah diselesaikan berdasarkan perjanjian yang dipersetujui bersama pada 26 Ogos 2020.
Baca artikel lain mengenai isu Sumareh melalui pautan dibawah.
Video Ini Isyarat Jelas Mohamadou Sumareh Ke Police Tero FC ‘Done Deal’?
Adakah Ini Klausa 8.7 Yang Menyebabkan Kontrak Sumareh Bersama Pahang FA Terbatal?