Selangor TOT United bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain skuad futsal kebangsaan Jepun apabila sah membawa masuk Antonio Massanori Hirata Neto.
Baca Juga:
- Selangor TOT United Beri Bayangan Bawa Masuk Pemain Dari Jepun
- MPFL 2023: Selangor TOT United Kejutkan Skuad Himpunan Bintang JDT
- Tinggalkan Bluewave Chonburi, Helio Neto Dikaitkan Ke Selangor TOT United
Antonio Hirata merupakan pemain kacukan Jepun-Brazil yang pernah menjulang trofi kejuaraan Piala Futsal AFC 2022 selepas menundukkan gergasi Asia, Iran pada aksi final.
Selain itu, beliau turut menganggotai skuad Nagoya Oceans menjuarai Piala Futsal Kelab AFC 2019 dimana beliu turut berjaya menjaringkan satu gol pada perlawanan akhir.
Bagi peringkat domestik pula, Hirata menjadi antara tunjang kekuatan buat Nagoya Oceans dalam menjadi kuasa besar futsal di Jepun.
Perkembangan terkini mengenai kehadiran Hirata disahkan Selangor TOT United menerusi satu video pengenalan pemain di laman sosial rasmi kelab tersebut, malam tadi.
Kehadiran Hirata nyata diharapkan dapat meningkatkan lagi kualiti penyudah pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 itu.
Hal ini kerana selepas mengharungi empat perlawanan, mereka sekadar menjaringkan 12 gol sekali gus menjadi pasukan ketiga terendah dalam mencipta jaringan.
Ia jauh berbeza dengan tiga pasukan lain seperti Johor Darul Ta’zim (33 gol), Selangor MAC (23 gol), KL City dengan 21 jaringan serta Shah Alam City (16 gol).
Difahamkan, pemain berusia 27 tahun itu akan bersama Selangor TOT United sehingga bulan Julai dan kemudiannya akan mengembangkan kariernya ke Eropah untuk bersama salah sebuah kelab dalam Liga Futsal Sepanyol untuk menghadapi musim 2023/23.
Hirata Neto sudah mula menyertai sesi latihan pasukan dan dijangka akan membuat penampilan sulung bersama Selangor TOT United di pusingan kedua bermula 14 Mei nanti menentang KL City di Shah Alam.