Penyerang Kuala Lumpur City FC, Herlison Caion mahu mendapatkan jaringan sulung peribadinya menentang Selangor FC malam ini yang akan menjadi pertembungan tumpuan ‘Derby’ Lembah Klang dalam aksi Liga Super 2023.

Baca Juga:

Selepas empat perlawanan, Caion masih buntu mencari gol pertamanya bersama Kuala Lumpur dan ini adalah masa terbaik untuknya memburu jaringan sulung apatah lagi bakal berdepan bekas pasukannya itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Pemain kelahiran Brazil ini tidak menolak banyak pengalaman manis telah diraih ketika bersama Selangor musim lalu di mana ia akan menjadi pertembungan cukup menarik untuknya cuba membantu Kuala Lumpur pula kali ini.

Meskipun mengetahui kekuatan dan kelemahan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu, Caion tetap tidak ambil mudah dan percaya setiap pasukan hadir dengan percaturan yang berbeza.

Kredit Foto: Malaysian Football League (MFL)

“Sudah tentu, satu musim saya di sana (Selangor), saya tahu sedikit sebanyak mengenai pasukan itu dan saya akan cuba bantu sebaik mungkin untuk memberikan sesuatu kepada Kuala Lumpur.

“Dengan pasukan baru, pastinya bukan mudah untuk saya sesuaikan diri dan saya memang kena lebih usaha untuk cuba bantu pasukan apatah lagi ini adalah perlawanan ‘Derby’ Lembah Klang.

“Memang saya ada banyak kenangan manis dengan Selangor dan saya berjaya jaringkan banyak gol bersama mereka, tetapi kali ini saya ingin lakukan bersama Kuala Lumpur pula.

“Saya sebagai penyerang, mesti la saya nak menjaringkan gol dan saya sedar tugas untuk pasukan ini di mana sebelum ini saya datang dengan pencapaian yang baik, jadi saya kena teruskan dapat pencapaian yang bagus itu”, tambah Herlison Caion lagi.