Ledakan hatrik yang dilakar bagi membantu kemenangan 3-1 Kuala Lumpur (KL) City FC ke atas Penang FC akan menjadi antara detik terbaik buat ketua pasukan, Paulo Josue sepanjang lima musim bersama pasukan.
Malah, dia puas jaringan pertama yang dilakar melalui sepakan percuma menarik pada minit-36 menjadi pencetus di sebalik kemenangan pasukan dan seterusnya memberikan keyakinan kepada rakan sepasukan.
Keputusan yang dilakar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu juga menamatkan penantian selepas empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan buat KL City bagi mendaki ke tangga keenam Liga Super.
“Ini adalah hatrik kedua saya selepas kali pertama pada 2019 dahulu dalam saingan Challenge Cup tetapi kali ini saya lebih gembira kerana dapat dilakukan dalam saingan Liga Super.”
“Gol pertama melalui sepakan percuma antara detik saya tidak boleh lupakan, malah sebelum melakukan rembatan, saya ada berbincang dengan pemain lain apabila melihat kedudukan penjaga gol.”
“Mujur sepakan itu kencang dan sukar buat penjaga gol selamatkannya, daripada situ kami mula mendapat keyakinan sebelum dua lagi gol mampu dihasilkan.
“Selain itu, kerjasama rakan sepasukan juga membantu kami dalam membendung kekuatan lawan dengan tidak banyak memberikan ruang kepada Danial Ashraf yang dilihat sering kali menjadi pencetus kepada gol kepada Casagrande menerusi tandukan,” katanya.
Dalam perlawanan kelmarin, gol kedua Josue dihasilkan melalui sepakan penalti pada minit-52 sebelum dia tenang memanfaatkan peluang yang terhidang pada minit-89 bagi mematikan api perjuangan Penang yang sebelum itu merapatkan jurang melalui Danial Ashraf Abdullah pada minit-64.
Josue yang berusia 32 tahun telah menghasilkan 34 jaringan bersama Kuala Lumpur dengan musim ini tujuh gol telah disumbangkan oleh pemain yang berasal dari Brazil ini.
Sementara itu, rakan sepasukan Paulo Josue, Zhafri Yahya yang turut memegang peranan selaku pengumpan gol ketiga KL City mengakui kehadiran Josue dalam pasukan banyak memberikan impak kepada KL City.
Dalam masa sama, Zhafri merasakan KL City mampu berada di tahap lebih baik di Liga Super sepanjang dia pernah bermain bersama skuad warga kota sepanjang dua musim lalu iaitu pada 2018 dan 2019.
“Josue sememangnya pemain yang cukup penting kepada kami semua dan dia sering kali menjadi perancang utama dalam kebanyakan gerakan pasukan.
“Saya sendiri puas dapat melakukan satu hantaran yang baik untuk disudahkan oleh Josue dan kami harap kemenangan ini akan memberikan semula keyakinan buat pasukan selepas lalui empat perlawanan yang sukar.
“Musim ini Kuala Lumpur saya rasa boleh meraih pencapaian yang lebih cemerlang di Liga Super sepanjang enam tahun di sini malah saya dapat rasakan banyak perubahan positif telah berlaku dalam pasukan di semua bahagian,” katanya.