Pemain pertahanan skuad B-19 tahun negara, Harith Haiqal Adam Afkar berazam untuk mencabar pemain senior bagi mendapat tempat dalam pasukan yang dibawa untuk menghadapi temasya Sukan SEA 2019 di Filipina hujung bulan ini.
Harith baru sahaja membantu skuad B-19 tahun negara layak ke temasya AFC B-19 yang bakal berlangsung di Uzbekistan tahun hadapan selepas muncul juara kumpulan G dalam saingan peringkat kelayakkan dengan rekod tanpa kalah dan mengutip empat kemenangan.
Pemain berusia 17 tahun itu mahu melipat-gandakan usaha bagi memastikan beliau tersenarai dalam skuad akhir meskipun mempunyai jurang usia yang berbeza berbanding pemain lain.
“Saya berasakan mampu menyaingi barisan pemain B-23 menerusi kemahiran tetapi daripada segi kekuatan fizikal, masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki.
“Saya tetap menghormati mereka sebagai pemain senior, tetapi dalam latihan nanti, kami tetap akan langgar sahaja,” katanya menurut laporan Stadium Astro.
Harith Haiqal beraksi di posisi pertahanan tengah dalam sistem back three yang diterapkan oleh ketua jurulatih pasukan, Brad Maloney.
Ketenangan serta kemampuan beliau untuk membaca permainan serta mematahkan gerakan serangan lawan membuat Harith dicanang sebagai pemain yang akan mengukuhkan benteng pertahanan pasukan senior pada masa akan datang.
Temasya Sukan SEA dilihat satu platform yang baik untuk Harith meningkatkan lagi mutu serta kualiti yang dimiliki oleh beliau.
Baca artikel lain mengenai skuad B-19 tahun negara di sini:
Gol Umar Hakeem Mengesahkan Tempat Malaysia U19 Dalam Pusingan Akhir AFC U19 2020 Di Uzbekistan
Kelayakan AFC B-19: Aiman Afif Bantu Malaysia Catat Kemenangan Besar Ke Atas Kepulauan Mariana Utara