Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk melihat aksi bintang Colombia, Radamel Falcao bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia musim ini tidak menjadi kenyataan.

Baca Juga:

Difahamkan penyerang yang berusia 37 tahun itu telah melanjutkan kontrak semusim lagi bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano sekaligus menafikan khabar angin mengenai perpindahan ke JDT.

Bagaimanapun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam satu rakaman video semalam menjelaskan pihaknya tidak mampu menandatangani Falcao kerana harganya yang terlalu tinggi.

TMJ juga menegaskan jumlah harga untuk Falcao mampu membeli tiga pemain yang berkualiti bagi perkuatkan pasukan.

“Masa beliau datang berjumpa dengan saya, memang betul kami ada perbincangan untuk membawa Falcao ke sini, tetapi kelab tidak mampu.

“Kami tidak mampu dengan harga yang beliau inginkan kerana harga itu terlampau mahal. Kami ingin menggunakan bajet yang ada untuk beli dua tiga pemain yang lain untuk pertingkat prestasi pasukan.

“Jadi dalam ‘strategy wise’, untuk ‘commercial wise’ adalah bagus. Sudah tentu beliau adalah pemain yang ‘superstar’, tapi kita juga perlu realistik.

“Kerana itulah beliau sudah datang dan berjumpa tetapi kami tidak tandatanganinya,” jelas TMJ menerusi rakaman video yang disiarkan di laman facebook Johor Southern Tigers.

Sebelum ini, media Colombia, El Deportivo, melaporkan JDT menawarkan gaji sebanyak 1 juta dollar semusim (RM4.45 juta) tidak termasuk bonus tambahan untuk mendapatkan khidmat Falcao selepas kontraknya bersama Vallecano sepatutnya berakhir pada 30 Jun lalu.

Media tersebut memetik sumber daripada wartawan Felipe Sierra yang berkata Falcao sedang pertimbangkan untuk menyertai pasukan baharu musim depan.

“Johor telah menawarkan Falcao dengan kontrak selama setahun dengan tambahan gaji sebanyak 1 juta dollar semusim. Perjanjian ini termasuk bonus yang akan memberi manfaat kepada pemain kelahiran Santa Marta itu,” katanya.

Walaupun impian untuk melihat Falcao beraksi bersama JDT tidak kesampaian, namun ia tidak menjejaskan prestasi juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu

Kehadiran bekas penyerang Atletico Madrid di Johor Bharu turut dikongsikan TMJ menerusi laman sosial rasmi yang sempat menurunkan tandatangan pada jersi Colombia.

Falcao mula beraksi bersama Rayo Vallecano sejak musim 2021 dimana beliau sebelumnya menyarung jersi kelab Turki, Galatasaray selama dua musim.

Beliau pernah beraksi dengan beberapa kelab ternama di Eropah seperti FC Porto, AS Monaco, Manchester United dan Chelsea.