Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sempat meluangkan masa bermain bola sepak bersama skuad wanita kebangsaan bawah 20 tahun (B-20) di padang Wisma FAM petang tadi.

Kehadiran beliau adalah untuk memberikan suntikan semangat kepada barisan pemain muda wanita negara sebelum berangkat ke Phnom Penh, Kemboja esok untuk menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20.

Yang turut hadir adalah Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob serta timbalannya yang juga pengurus pasukan skuad Malayan Tigress B-20, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.

23 Pemain telah dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terdiri daripada gabungan pelajar sekolah menengah dan universiti yang berusia bawah 19 tahun.

11 pemain daripada skuad kendalian Cameroon Ng ini adalah daripada Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan dua orang daripada Sekolah Sukan Negeri Selangor serta seorang daripada Sekolah Sukan Sabah.

Selain itu, pasukan ini turut disertai oleh dua pemain yang bersekolah dari luar negara iaitu Lauren Hoh Ruyi (Thailand) dan Tia Danielle Theseira (Sepanyol).

Hanya dua orang pemain yang merupakan pelajar universiti tempatan iaitu Nur Adrienna Zamzaihiri (UPNM) dan Nurfarisya Hanim (UPSI).

Skuad Malayan Tigress B-20 telah diundi dalam Kumpulan G akan memulakan aksi pertama Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 menentang Kemboja pada Jumaat, 10 Mac 2023 dan perlawanan terakhir kumpulan G menentang Myanmar pada Ahad, 12 Mac 2023 di Stadium Smart RSN, Phnom Penh.

8 juara kumpulan akan ke pusingan kedua Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 11 Jun 2023 di mana empat daripada lapan pasukan terbaik ini akan meraih tempat ke final di Uzbekistan, tahun hadapan.

Skuad Malayan Tigress B-20 akan berlepas ke Phnom Penh, Kemboja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu, 8 Mac 2023.