Pemain tengah Leicester City yang kini dipinjamkan ke Watford, Hamza Choudhury tidak menolak kemungkinan sekiranya beliau akan menyarung jersi skuad kebangsaan Bangladesh pada satu hari nanti.
Baca Juga:
- Leicester City Jual Anak Saudara Sultan Brunei Kepada Kelab Portugal, Maritimo
- Tawaran Beraksi Bersama Leicester City Dan OH Leuven Menanti Tiga Bintang Muda Thailand
- Suphanat Mueanta Beraksi Bersama Skuad Leicester City B-23 Tahun
- Media Pro Palestine Puas Fofana & Choudhury Kibar Bendera Palestin, Tamparan Kepada Abramovich
Negara Asia Selatan itu nyata bukanlah asing buat Choudhury kerana ibunya merupakan rakyat tempatan yang lahir di Habiganj manakala bapa beliau pula dari negara Carribean, Grenada.
Meskipun lahir di Loughborough, United Kingdom, Choudhury difahamkan begitu fasih dalam berbahasa Bengali dan kerap pulang ke Bangladesh untuk melawat keluarga ibunya sejak dari zaman kanak-kanak.
Keadaan itu membuatkan beliau tidak pernah melupakan asal-usulnya walaupun mengimpikan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan England. Impian yang masih belum dapat direalisasikannya sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, Choudhury yang membuat 84 penampilan bersama skuad senior Leicester City sejak musim 2017/18 itu tanpa berselindung mengakui jika tidak dapat bersama The Three Lions, beliau berbangga untuk bersama skuad kebangsaan Bangladesh.
“Ya, saya fikir begitu. Saya pasti akan berfikiran sedemikian [untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Bangladesh],” ujar Hamza Choudhury menurut laporan Sky Sports.
“Saya mahu melihat sejauh mana prestasi saya dalam beberapa tahun akan datang, tetapi saya lebih berbangga, lebih berbesar hati untuk kesana dan bermain untuk Bangladesh dan akan ke sana dengan lebih kerap.”
“Mungkin saya akan kembali ke Bangladesh pada cuti musim sejuk nanti, kita akan lihat berapa hari cuti yang akan diperolehi [kerana Piala Dunia 2022 di Qatar].”
“Saya mahu membawa anak-anak saya kembali ke sana kerana saya ingin memberikan mereka merasai bagaimana kehidupan saya ketika zaman kanak-kanak. Kami pernah pulang ke Bangladesh pada setiap tahun, sejak saya kecil dan ia adalah dunia yang berbeza.”
Choudhury yang bakal menjengah usia 25 tahun pada 1 Oktober nanti pernah membuat tujuh penampilan bersama skuad Bawah 21 Tahun (B-21) England sekitar tahun 2018 hingga 2019.