Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menghadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam.

Datuk Haji Hamidin menganggap DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai mentor dalam kerjaya awal bola sepaknya.

Antara perkara yang ditekankan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ialah mengenai Stadium baharu Selangor yang akan turut dilengkapi muzium sukan dan bola sepak.

“DYMM Tuanku menitahkan saya untuk sama-sama memberi pandangan dan buah fikiran untuk muzium sukan dan bola sepaknya yang akan melengkapkan lagi Stadium baharu nanti.

“Dalam pada itu, DYMM Tuanku turut memberi penjelasan mengenai kelengkapan stadium baharu itu dengan turut meminta pandangan AFC dan FIFA untuk nilai tambah dari pelbagai aspek teknikal merangkumi padang dan bilik persalinan,” tambah Datuk Haji Hamidin.

Stadium baharu di Selangor itu nanti turut dilengkapi dengan ciri ciri canggih seperti ‘retractable pitch’ ataupun padang mudah alih dan juga kemampuan mengendalikan pelbagai acara sukan lain selain bola sepak serta hiburan.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah memegang jawatan Presiden FAS pada tahun 2000 manakala Datuk Haji Hamidin selaku Setiausaha Agung FAS ketika itu.

Baginda juga turut mengucapkan tahniah kepada Hamidin atas kejayaan dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 pada 1 Februari lalu.

“DYMM Tuanku menyifatkan kejayaan saya dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA ini adalah sesuatu yang unik dan luar biasa.

“Malah DYMM Tuanku menitahkan Datuk Haji Hamidin menjadikan peluang ini bukan sahaja sebagai platform mengembangkan kerjaya tetapi turut dijadikan nilai tambah dalam bola sepak Malaysia,” kata Datuk Haji Hamidin dalam kenyataan rasmi di laman facebook FAM.

Datuk Haji Hamidin mengenali DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak 1988 turut memaklumkan mengenai usaha-usaha membangunkan lagi program bola sepak wanita terutama mengenai Festival Bola Sepak Wanita Serantau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dijalankan di beberapa buah negara, baru-baru ini.

Turut dibincangkan program akar umbi terutama di Akademi bola sepak Selangor iaitu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Soccer Schools yang selaras dengan Piagam SupaRimau FAM.