Pemain sayap baharu Penang FC, Muhammad Hadin Azman tekad untuk kembali bangkit mempamerkan aksi terbaik sekali gus turut mengintai peluang bagi kembali membarisi skuad kebangsaan.
Baca Juga:
- Safee Sali Dan Hadin Azman Bakal Sertai Kuala Lumpur
- Akhyar Rashid Dan Hadin Azman Bersaing Bagi Gantikan Mohamadou Sumareh
- KL City Lakar Sejarah Mara Ke Final Antara Zon Piala AFC 2022
Mengakui musim 2022 bukanlah yang terbaik untuknya namun sudah pasti dia tetap mengingati kenangan indah bersama Kuala Lumpur sejak musim 2021 sehingga berjaya menjulang trofi TM Piala Malaysia.
Dan kini bersama Penang, Hadin mahu memastikan pasukan ini mampu untuk meraih sesuatu yang lebih cemerlang selepas mengharungi musim getir pada tahun lalu sehingga menduduki kedudukan tercorot Liga Super 2022.
Malah, lebih meningkatkan lagi moral pemain berusia 28 tahun itu ialah dengan kehadiran cahaya mata sulungnya pada awal Januari lalu.
“Alhamdulillah saya sudah 12 hari bergelar bapa dan diharapkan dengan kehadiran cahaya mata ini dapat membuka lebih banyak rezeki untuk saya sekeluarga.
“Insya-Allah saya nak bangkit pada tahun ini dan mana tahu kalau ada rezeki dapat kembali mencuri tumpuan diserapkan ke skuad kebangsaan semula.
“Apa pun, tujuan saya ke Penang adalah untuk membantu pasukan ini selain saya sedar masih banyak kekurangan saya tahun lepas dan saya fikir bersama Penang adalah keputusan terbaik untuk mendapatkan kembali persembahan saya.
“Saya akan cuba memberikan sehabis baik untuk sekurang-kurangnya membawa Penang dalam kelompok enam terbaik liga”, katanya.
Dalam masa sama, Hadin yang telah meraih dua jaringan pada tahun lalu turut mengharapkan dia mampu untuk mendapat tempat di hati kalangan penyokong skuad Harimau Kumbang sepanjang musim ini.
Apa yang penting sekarang adalah untuk mendapatkan keserasian yang lebih baik terutamanya dalam perlawanan-perlawanan persahabatan akan datang.
“Saya pun masih baru lagi dan tidak sempat lagi nak sertai aksi persahabatan sebelum ini sebab baru menimang cahaya mata, jadi agak lambat sikit nak sesuaikan diri.
“Yang penting Insya-Allah saya memang berharap nak dapatkan sokongan penuh daripada penyokong Penang dan tiada masalah untuk saya segera dapatkan keserasian di sini selepas ini”, tambah Hadin Azman lagi.