Skuad Melaka FC membuat kejutan apabila mengumumkan pemain naturalisasi, Guilherme De Paula bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan tersebut dalam saingan Liga M3 musim ini.
Baca Juga:
- PFAM Dedah Tunggakan Gaji Melaka United Bernilai RM2.3 Juta
- Logo Baru Melaka FC ‘Aura’ Manchester United, Namun Terima Banyak Kecaman
- Pemain Melaka United Mohon Bantuan TMJ Selesaikan Masalah Tunggakan Gaji
Difahamkan pemain yang berusia 37 tahun itu menyertai pasukan itu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) sekaligus menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Melaka FC kali ini mendapat sentuhan jurulatih dari Portugal, Pedro Hipolito dan menyasarkan untuk layak ke Liga Super pada musim 2024.
Menerusi senarai yang dikeluarkan Melaka FC menerusi Melaka United Media, mereka membariskan 25 pemain termasuklah tiga pemain muda daripada kejohanan Piala Gabenor 2022 yang berlangsung bulan lalu.
Selain de Paula, antara nama ‘besar’ yang lain turut mewakili Melaka FC adalah pertahanan, Mohd Idris Ahmad, pemain tengah, S Veenod, Syahrul Azwari Ibrahim dan bekas penyerang KL City, Mohammad Fakhrul Aiman Sidid.
Majlis Pelancaran Jersi dan Pasukan Melaka FC malam tadi di hadiri Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Bin Rustam Yang DiPertua Negeri Melaka, Ybhg Datuk Wira Hj. Hamidin Bin Mohd Amin – Presiden FAM dan Ybhg Datuk Wira Nur Azmi Bin Ahmad – Presiden MAFA di Casa De Rio.
Jersi Melaka FC tidak mengikut warna pasukan tradisi, Melaka United, Melaka FC sebaliknya memilih warna merah sebagai warna utama untuk jersi utama (home) sementara set jersi serba putih dipilih bagi digunakan pasukan itu.
Turut dilancarkan adalah penjenamaan semula logo pasukan yang sebelum ini mendapat kritikan penyokong.
Menariknya, dalam logo baharu ini turut mengekalkan pokok Melaka sebagai simbol negeri ini yang diletakkan dalam beberapa lapis bentuk heksagon, berlatar belakangkan warna merah, biru dan kelabu.
Melaka FC akan membuka kempen Liga M3 berdepan SAINS FC di laman sendiri, 4 Mac ini.