Pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula tampil memberikan penjelasan mengenai insiden kurang menyenangkan yang melibatkan dirinya sebaik sahaja beliau dikeluarkan pada aksi Piala Suzuki AFF 2020 bertemu Kemboja, semalam.
Laporan sebelum ini menyebut pemain berusia 35 tahun itu kelihatan berang setelah digantikan dengan Luqman Hakim Shamsudin dan De Paula dikatakan membaling botol air dibangku simpanan.
Malah, seorang wartawan mengatakan De Paula turut merenung tajam ke arah para penyokong skuad negara yang hadir memberikan sokongan di Stadium Bishan.
Insiden tersebut nyata menyemarakkan lagi api kemarahan para penyokong negara terhadap De Paula berikutan aksi hambarnya sejak mula menyarung jersi Harimau Malaya.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan De Paula terpanggil untuk menceritakan apa perkara yang sebaliknya berlaku di ‘story’ Instagram peribadi miliknya.
“Kepada peminat yang dikasihi sekalian, sejak daripada hari pertama saya sampai, saya sangat menghargai dan menghormati harapan yang telah anda semua berikan kepada saya. Sokongannya adalah sangat hebat! Terima kasih.”
“Malangnya, insiden yang terjadi semalam telah diputar belitkan oleh seseorang dan meletakkan saya dalam keadaan yang tidak baik.”
“Kebenarannya ialah saya sentiasa menghormati jurulatih dan rakan sepasukan saya. Sejujurnya, saya berasa teruk kerana telah memberikan [komitmen] seratus peratus. Cuma kadang-kadang kami merasakan kami mampu memberikan lebih daripada apa yang kami ada.”
“Bergerak ke hadapan, saya akan bekerja dengan lebih keras dan meningkatkan kemampuan diri dengan lebih baik bersama pasukan. Kami dahagakan kejayaan dan kami akan berusaha untuk mencatatkan kemenangan bersama-sama.”
“Bersama-sama untuk Malaysia!,” tambah Guilherme De Paula lagi.
Baca juga artikel-artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.
Ini Reaksi Tan Cheng Hoe Mengenai Isu De Paula ‘Koyak’ Dan Baling Botol Air Dibangku Simpanan
Tan Cheng Hoe: Junior Eldstal Keluar Awal Kerana Perubahan Taktikal