Pemain pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco mengakui beliau merasai perasaan yang sama seperti kejayaan menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dua tahun lalu menjelang pertemuan final Piala FA 2023, Sabtu ini.

Baca Juga:

Seperti yang dapat disaksikan pada aksi final Piala Malaysia 2021,  KL City mencipta kejutan dengan menundukkan kelab gergasi tanah air tersebut 2-0 hasil jaringan Zhafri Yahya dan Paulo Josue.

Gallifuoco juga pada ketika itu diturunkan selaku pemain kesebelasan utama dan beraksi dengan baik bagi merantai pergerakan peledak berbisa lawan, Bergson da Silva.

Sehubungan dengan itu, pemain kelahiran Australia tersebut merasakan aura yang sama bakal dinikmati mereka pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri nanti.

“Saya harap  begitulah [dapat menewaskan JDT],” ujar Giancarlo Gallifuoco menurut sumber video dikeluarkan laman Twitter Shoot.

“Anda tahu bahawa kami mempunyai perasaan yang sama seperti tahun 2021 [merujuk kepada aksi final Piala Malaysia 2021]. Kami mempunyai perasaan yang sama apabila menentang mereka.”

“Mereka adalah pasukan gergasi, semua orang di Asia Tenggara dan Asia mengetahui berapa banyak Johor telah belanjakan untuk fasiliti serta pasukan dan mereka adalah pasukan yang luar biasa.”

“Tetapi kami merupakan keluarga KL City dimana kami tahu kami adalah sebuah kelab kecil dengan jiwa besar seperti yang sentiasa diperkatakan.”

“Kami akan berganding bahu, bersatu dan cuba memberikan yang terbaik. Itu semua yang kami boleh lakukan,” tambah Gallifuoco lagi.

Sekiranya melihatkan kepada prestasi semasa serta status JDT selaku pasukan yang menang dalam kesemua perlawanan Liga Super dan Piala FA setakat ini, skuad kendalian Esteban Solari itu dilihat sebagai pilihan utama untuk muncul juara.

Apatah lagi mereka juga sudah dua kali menundukkan KL City pada musim ini dalam kempen liga iaitu 3-0 dan 6-1.

Namun, seperti yang sering diperkatakan bahawa pentas final adalah situasi berbeza buat mana-mana pasukan, cabaran daripada KL City juga tidak wajar dipandang sepi oleh JDT nanti kerana kejutan masih mampu untuk dilakukan anak buah Bojan Hodak itu.

 

Sumber