Pahang Rangers nampaknya tidak menunggu lama untuk mencari penawar duka kehilangan Matheus Augusto Gonzales apabila kekosongan itu pantas rakan senegaranya Sergio Jamur de Souza.

Baca Juga:

Pemain berusia 32 tahun itu memerlukan hanya sembilan minit pada penampilan sulung untuk memenangi hati penyokong apabila meledak gol kedua ketika membenam Kedah 5-2 di Alor Star pada 20 Mei lalu.

Dan kemudiannya dalam aksi di laman sendiri di SUKPA pada 28 Mei lalu, Jamur mencipta satu assist dan menjaringkan gol menerusi rembatan bak peluru untuk membantu Pahang Rangers menang 7-2 ke atas ATM.

“Saya gembira dia cepat serasi dan dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan. Kekuatan kaki kiri adalah aset dan kelebihan Jamur.’’

“Sudah tentu dia masih memerlukan masa untuk memahami taktikal dan cara permainan tetapi dia bekerja keras dan cuba bertambah baik dari hari ke hari,” ujar ketua jurulatih Pahang Rangers, Gerard Casas.

Sebelum datang ke Pahang Rangers, yang mana merupakan kelab Asia kedua diwakilinya selepas turut pernah bermain di Liga Futsal China beberapa tahun lepas, Jamur bermain bersama kelab Sepanyol Levante UD.

“Saya hanya mahu berikan yang terbaik untuk pasukan dan bantu realisasikan hasrat mereka bergelar juara liga buat pertama kali, ia pastinya akan jadi pengalaman yang cukup menyeronokkan,” kata Sergio Jamur.

Pahang Rangers yang sedang mendahului carta Kumpulan A dengan 25 mata dan belum tewas selepas sembilan perlawanan, selepas ini akan bertandang ke Kuala Terengganu untuk bertemu dengan Terengganu pada 3 Jun ini.