Pasukan kebangsaan Georgia menang mudah ke atas salah satu jaguh dari rantau Asia Tenggara iaitu Thailand apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di Tblisi semalam.

Baca Juga:

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Mikheil Meskhi, Georgia yang menghuni tangga ke-79 nyata sukar untuk ditandingi oleh Thailand yang berada di tangga ke-112 apabila pasukan tuan rumah berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 8-0.

Georges Mikautadze menjadi pemain terbaik bagi pasukan tuan rumah apabila beliau menjaringkan empat gol, hatrik pada separuh masa pertama dan beliau menambah jaringan keempat peribadinya pada separuh masa kedua.

Empat lagi gol dijaringkan oleh Luka Lochoshvili, Khvicha Kvaratskhelia serta Zuriko Davitashvili yang menjaringkan dua gol.

Keputusan 8-0 yang diraih oleh Georgia turut mencatat rekod sebagai kemenangan terbesar yang pernah diraih oleh pasukan kebangsaan itu di pentas antarabangsa.

Pada aksi semalan, Thailand terpaksa turun tanpa beberapa pemain bintang mereka selepas tidak mendapat pelepasan dari kelab masing-masing bagi menghadapi perlawanan jendela FIFA kali ini.

Beberapa tonggak utama seperti Theerathon Bunmathan, Teerasil Dangda, Chanathip Songkrasin, Sarach Yooyen, Supachai Chaided dan Pansa Hemviboon tiada dalam senarai kali ini dipercayai tidak dapat pelepasan daripada pemilik kelab Buriram United dan BG Pathum United akibat jadual padat.

Selain Liga Thailand, Buriram United dan BG Pathum United turut terlibat dalam saingan AFC Champions League musim ini.

Turut tidak dipanggil ialah Supachok Sarachat yang bersama kelab Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo dan Suphanat Mueanta dari kelab Belgium, OH Leuven.

Meskipun tidak dapat menggunakan pemain terbaik pasukan, ketua jurulatih Thailand, Mano Polking berpendapat ini adalah masa yang sesuai untuk pemain lain terutamanya pemain muda membawa cabaran skuad senior.

“Ini situasi yang sukar untuk pasukan kami. Jadual liga yang padat memaksa kami tidak dapat khidmat pemain terbaik daripada kelab masing-masing.

“Saya melihat ini merupakan peluang untuk pemain baharu menunjukkan kemampuan mereka kerana kami akan berdepan pasukan yang kuat. Ia juga bagus untuk pemain muda bawah 23 tahun yang tidak dapat peluang beraksi di pentas antarabangsa,” katanya.