Era Gennaro Gattuso sebagai jurulatih Lazio bermula dengan langkah kiri pada Ahad apabila finalis musim lalu itu tersingkir daripada Piala Itali selepas tewas 2-0 di laman sendiri kepada pasukan divisyen dua, Mantova.

Pengendali berusia 48 tahun itu mengambil alih tugas membimbing Lazio pada Julai, empat bulan selepas melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Itali berikutan kegagalan skuad kebangsaan negara itu melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Sebagai pemain AC Milan antara tahun 1999 dan 2012, Gattuso memenangi dua kejuaraan Serie A dan dua trofi Liga Juara-Juara (Champions League), namun beliau masih belum mengecap kejayaan setaraf dengannya sebagai jurulatih.

Pemenang Piala Dunia 2006 itu juga pernah membimbing Fiorentina, Valencia, Napoli dan Marseille.

Lazio merupakan satu-satunya daripada 12 kelab Serie A yang bersaing dalam pusingan 64 terakhir kejohanan itu yang tersingkir.

Pemenang Piala Itali sebanyak tujuh kali, Lazio tewas dalam perlawanan akhir musim lalu kepada Inter Milan pada Mei lalu.