Pengendali skuad kebangsaan England, Gareth Southgate tanpa berselindung memuji rakan sejawatannya di Itali, Roberto Mancini yang telah berjaya mengubah corak permainan ‘The Azzurri’.

Sejak Mancini dilantik pada 14 Mei 2018 bagi menggantikan Gian Piero Ventura berikutan kegagalan Itali layak ke Piala Dunia 2018, skuad bimbingannya hanya tewas dua kali dan kemudiannya pada ketika ini mereka telah mencatatkan rentetan rekod tanpa kalah sebanyak 33 perlawanan.

Aksi ditampilkan Itali pada saingan Euro 2020 juga memperlihatkan perubahan yang cukup ketara kerana sebelum ini pasukan tersebut amat sinonim dengan corak permainan bertahan.

Lebih menarik, Itali bakal membuat perhitungan aksi final bertemu England pada awal pagi Isnin nanti di Stadium Wembley.

Keadaan itu jelas menerbitkan rasa kagum di hati Southgate melihatkan kepada perubahan Itali yang disifatkannya sebagai lebih moden.

”Mereka [Itali] memiliki corak permainan yang sangat jelas, mempamerkan semangat juang yang tinggi, energi yang hebat dalam permainan mereka.”

“Secara taktikalnya semua pasukan Itali adalah sangat bagus, tetapi juga corak permainan mereka juga sangat berbeza dengan Itali sewaktu saya masih muda, [mereka] kini sangat moden,” ujar Southgate menurut laporan dikeluarkan Goal.

”Saya telah mengamati mereka secara dekat dalam dua tahun ini kerana saya tahu pekerjaan yang telah dilakukan Roberto Mancini.”

“Ini adalah pasukan yang luar biasa dan saya berfikir tanpa keraguan dua pasukan terakhir telah berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir,” tambah Southgate lagi.

Selepas mengharungi enam perlawanan dalam kempen Euro 2020, Itali telah menjaringkan 12 gol dan dibolosi tiga jaringan.

Baca artikel lain mengenai Kejuaraan Euro 2020:

Euro 2020: Tuah Sepakan Penalti Milik Itali, Tundukkan Sepanyol Untuk Ke Final

Euro 2020: Atasi Denmark, England Layak Ke Final Buat Pertama Kali

Euro 2020: Itali Dipaksa Bekerja Keras Sebelum Layak Ke Suku Akhir

 

 

 

Sumber