Itali dipaksa bekerja keras sehingga ke masa tambahan untuk melangkah ke suku akhir selepas menundukkan Austria 2-1 pada aksi pusingan 16 Kejuaraan Euro 2020 yang berlangsung di Stadium Wembley, sebentar tadi.
Dilabel sebagai pasukan pilihan untuk melangkah ke pusingan kalah mati berikutan prestasi cemerlang ditampilkan pada peringkat kumpulan nyata bukanlah tiket buat Itali untuk mudah membenam cabaran Austria pada perlawanan ini.
Walaupun menguasai sebahagian besar permainan terutamanya pada babak pertama, anak buah Roberto Mancini itu jelas menghadapi kesukaran apabila barisan pemain Austria tidak memberikan laluan mudah buat mereka.
Barisan pemain Austria terutamanya di jentera pertahanan dan tengah dilihat begitu berdisiplin pada 90 minit perlawanan dalam memberikan tekanan yang membuatkan Itali berdepan kesukaran untuk menjelmakan corak permainan seperti kebiasaan.
Meskipun begitu, Itali masih mampu untuk memperoleh peluang terbaik apabila percubaan Nicolo Barella pada minit ke-17 setelah beliau menerima hantaran lintang daripada Leonardo Spinazzola tetapi rembatan ‘outside foot’ dilakukannya berjaya dihalang menggunakan kaki oleh penjaga gol, Daniel Bachmann.
Rembatan cantik Ciro Immobile dari luar kawasan penalti pada minit ke-32 pula sekadar singgah di tiang gol ketika Bachmann hanya mampu memandang percubaan tersebut.
Memasuki minit ke-42, giliran Spinazzola pula memberikan ancam ke arah pintu gol Austria tetapi Bachmann lebih bersedia untuk menepis keluar percubaan leret dilakukan pemain pertahanan AS Roma itu.
Babak kedua menyaksikan Austria pula lebih banyak melancarkan serangan dan skuad kendalian Franco Foda itu dihadiahkan sepakan percuma di hadapan pintu gol Itali.
Bagaimanapun, percubaan daripada ketua pasukan, David Alaba hanya sedikit sahaja melewati palang gol pada minit ke-52.
Marko Arnautovic juga mendapat peluang terbaik tetapi rembatannya dalam kawasan penalti setelah menerima hantaran Alaba mudah ditangkap kemas penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.
Kombinasi Alaba dan Arnautovic hampir membuatkan Itali kecewa pada minit ke-65 selepas penyerang tersebut berjaya menanduk masuk bola bagi memecahkan kebuntuan.
Namun, jaringan Arnautovic itu telah dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) selepas beliau didakwa terlebih dahulu berada dalam keadaan ofsaid untuk memastikan perlawanan terpaksa berlanjutan hingga ke masa tambahan.
Jaringan yang ditunggu-tunggu Itali akhirnya hadir pada minit ke-95 apabila pemain gantian, Federico Chiesa dengan tenang melakukan dadaan sekali gus merembat masuk bola dalam kawasan penalti setelah menerima umpanan cantik daripada Spinazzola bagi memecah kebuntuan.
Jaringan itu nyats sedikit merentap semangat Austria dan Itali hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-105 menerusi sepakan percuma Lorenzo Insigne tetapi Bachmann melayangkan badannya untuk menyelamatkan keadaan.
Hanya seminit kemudian [masa kecederaan], kehampaan Insigne itu dibalas seorang lagi pemain gantian, Matteo Pessina yang berjaya meledakkan jaringan kedua setelah beliau menerima hantaran daripada Francesco Acerbi dalam kawasan penalti.
Enggan menyerah kalah, Austria cuba untuk merapatkan defisit jaringan dengan rembatan padu daripada Louis Schaub dari luar kawasan penalti tetapi Donnarumma lebih bersedia untuk menepis keluar percubaan tersebut pada minit ke-106.
Usaha mereka membuahkan hasil ketika perlawanan memasuki minit ke-114 selepas Sasa Kalajdzic berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan sudut yang diambil Schaub.
Jaringan tersebut juga sekali gus telah mencalarkan rekod cemerlang Itali yang tidak dibolosi pada 11 perlawanan terakhir.
Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan kemaraan Itali ke peringkat suku akhir dan mereka bakal menanti pemenang di antara Belgium dan Portugal yang akan beraksi di Seville, awal pagi esok.