Pemain pertahanan Perancis, Benjamin Pavard dilaporkan telah menolak perpindahan ke Manchester United dan sedang dalam proses menyertai Inter Milan pada hari Isnin.

Menurut La Gazzetta dello Sport, Inter telah meningkatkan tawaran mereka untuk Pavard dan yakin dapat memuktamadkan perjanjian dengan pemain itu.

Sumber yang sama menyebut bahawa perpindahan itu bakal dimeterai secara rasmi dalam masa terdekat. Dan Bayern sudah mulai mencari pengganti untuk pemain pertahanan itu.

Man United telah banyak dikaitkan dengan perpindahan untuk Pavard, yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis pada 2018.

Bagaimanapun, nampaknya pasukan kendalian Erik ten Hag kini akan terlepas peluang untuk menandatangani pemain berusia 27 tahun itu.

Terdapat beberapa halangan yang berlaku. Terutama sekali United sebelum ini yakin mereka akan menjual Harry Maguire ke West Ham. Malangnya pemain itu tidak mempersetujui syarat meninggalkan Man United.

Maguire menuntut bayaran £7 juta dari Man United jika kelab itu mahu menjualnya ke West Ham.

Proses rundingan itu menjadi sangat rumit dan West Ham dikatakan menamatkan rundingan dengan Man United serta beralih ke sasaran lain.

Maguire kemudian memutuskan untuk terus kekal di Man United dan mencabar tempat dalam kesebelasan utama.

West Ham mendapatkan Mavropanos yang pernah bermain untuk Arsenal dibeli dengan nilai £17 juta.

 

Pemain pertahanan Bayern Munich, Benjamin Pavard juga semakin berputus asa menunggu Man United dan akhirnya memilih Inter Milan.

Inter dilihat melakukan proses lebig cepat dan drastik dalam rundingan kali ini.

Pavard hanya berbaki setahun dalam kontraknya di Bayern, jadi ini adalah peluang terakhir untuk kelab Jerman itu mendapat bayaran perpindahan daripada pemain itu.

Bayern setuju dengan perpindahan sekitar €33 juta untuk pemain itu. Sebelum ini Bayern menolak bidaan €35 juta daripada Man United untuk Pavard kerana merasakan pemain itu bernilai sekitar €45-50 juta.

Setelah memulakan kerjaya seniornya di Lille, Pavard menandatangani kontrak dengan Stuttgart pada 2016 sebelum menyertai Bayern Munich pada 2019.

Pavard telah membuat 163 penampilan untuk Bayern dan telah menjaringkan 12 gol, manakala dia telah memberikan 12 assist.

Dia memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada 2020 dan telah memenangi gelaran Bundesliga sebanyak tiga kali.