Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain ekoran kegagalan The Gunners meraih kemenangan ketika bertemu West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23, malam tadi.

Baca Juga:

Kunjungan ke Stadium London itu menyaksikan Arsenal berjaya menjaringkan dua gol pantas menerusi Jesus dan ketua pasukan, Martin Odegaard.

Kelebihan itu bagaimanapun dipadamkan oleh jaringan Said Benrahma pada minit ke-33 hasil sepakan penalti. Bukayo Saka kemudiannya berpeluang untuk melebarkan kedudukan tetapi sepakan penalti beliau tersasar.

Keadaan itu digunakan sepenuhnya Jarrod Bowen yang menyamakan kedudukan untuk Arsenal terpaksa berpuas hati dengan satu mata pada perlawanan ini.

Ia merupakan aksi kedua berturut-turut kelebihan dua gol dimiliki skuad kendalian Mikel Arteta itu berakhir dengan keputusan seri 2-2, sepertimana terjadi ketika menentang Liverpool.

Keputusan itu juga semakin meningkatkan moral Manchester City yang kekurangan satu perlawanan untuk terus memberikan tekanan buat Arsenal.

“Sekali lagi, tiga mata sudah berada dalam tangan kami,” ujar Gabriel Jesus menurut laporan laman sesawang rasmi Arsenal.

“Jelas sekali tempoh perlawanan adalah 90 minit, ia bukannya 20, dalam kes hari in, 30 minit. Sebagai satu pasukan, kami perlu meningkatkan lagi tahap dan kembali berada pada prinsip kami.”

“Kami mengetahui tentang kekuatan kami, kami tahu apa yang kami boleh lakukan. Dimana kami mahu menyerang lawan, pada 10 hingga 20 minit awal kami melakukannya dengan cukup baik, kemudian tahap kami jatuh dan ia jelas sekali tidak boleh berlaku sekiranya anda mahu bersaing untuk merebut kejuaraan.”

“Ia bermula sejak lima atau 10 minit sebelum sepakan penalti, kerana tepat sekali selepas kami menjaringkan gol kedua, kami berhenti [menyerang].”

“Sebagai satu pasukan, tiada masa untuk menyalahkan sesiapa, kami perlu meningkatkan tahap sekali lagi dan kembali kepada prinsip dan seperti saya katakan untuk memenangi perlawanan.”

“Hanya itu sahaja cara untuk kami sampai ke bulan hadapan dan kemudiannya bersaing untuk mendapatkan kejuaraan,” tambah Jesus lagi.

Sumber