Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus jelas bingung dengan keadaan yang dihadapinya pada ketika ini apabila beliau masih gagal untuk menemui sentuhan jaringannya seperti kebiasaan.

Baca Juga:

Bermula baik dengan lima gol dihasilkannya pada sembilan penampilan awal, prestasi itu kelihatannya tidak dapat diteruskan selepas beliau ketandusan gol pada lima perlawanan terakhir.

Lebih tepat lagi, kali terakhir beliau meletakkan nama selaku penjaring gol adalah pada 1 Oktober lalu dimana Arsenal mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas musuh tradisi, Tottenham Hotspur.

Keadaan tersebut bagaimanapun tidaklah terlalu merisaukan penyerang berusia 25 tahun itu kerana beliau yakin kemarau jaringannya akan dapat ditamatkan dalam tempoh terdekat.

“Saya tidak tahu [mengapa bergelut untuk mendapatkan jaringan], saya benar-benar tidak tahu. Kalau saya tahu, saya boleh memberitahu sebabnya kepada anda,” ujar Jesus menurut laporan Goal.

“Tetapi, satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan ialah untuk terus mencuba, terus berjuang dan terus bertambah baik. Seperti yang saya katakan, saya datang ke sini untuk menjaringkan gol, saya di sini untuk membantu pasukan dengan gol yang dihasilkan oleh saya.”

“Saya memahami bahawa sudah tentu, gol itu akan kembali tidak lama lagi,” tambah Gabriel Jesus lagi.

Mengulas mengenai keputusan seri yang dicatatkan ketika bertemu Southampton, Jesus mengakui kecewa dengan keputusan tersebut kerana deretan peluang dicipta gagal untuk diterjemahkan kepada jaringan.

Arsenal kini masih berada ditangga teratas saingan EPL dengan 28 mata, berkelebihan dua mata dihadapan pencabar terdekat, Manchester City.

 

 

Sumber