Peledak berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri tidak memandang rendah pertemuan menentang Perak pada aksi ketujuh Liga Super Malaysia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Perak.

Baca Juga:

Kem juara sembilan kali saingan Liga Super itu kini sudah berada di Ipoh dalam usaha meneruskan rekod kemenangan 100 peratus yang dikecapi setakat ini.

Sudah menjaringkan enam gol sekali gus mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super, Forestieri melihat skuad muda Perak bakal memberikan kesukaran buat JDT, malam esok.

Penyerang berusia 33 tahun itu melihat keazaman tinggi pemain muda Perak yang dibimbing Datuk Lim Teong Kim serta corak permainan pantas dipamerkan mampu menjerat JDT sekiranya pemain mereka tidak berhati-hati.

“Kita tahu pemain Perak FC dibarisi pemain muda yang mahu membuktikan sesuatu apabila beraksi di laman mereka sendiri malah mereka sudah tentu mahu buktikan sesuatu dan saya jangkakan ia perlawanan berintensiti tinggi dan pastinya ke arah corak permainan pantas.

“Apapun, kami akan terus membuat persiapan dan tetap menghormati Perak FC malah kami harus memikirkan apa yang perlu dilakukan pada perlawanan itu nanti selain berhati-hati dengan pendekatan taktikal pasukan lawan.

“Kami kena 100 peratus untuk memberi sepenuh fokus apabila perlawanan nanti dan setiap pasukan yang menentang JDT begitu mengidam untuk kalahkan kami dan pasukan lawan akan turun beraksi mungkin 200 peratus dalam usaha menutup peluang kami meraih kemenangan,” ujar Forestieri menurut sumber laporan dikeluarkan BH Online.

Sumber