Presiden FIFA, Gianni Infantino mengumumkan rombakan format Piala Dunia Kelab bermula 2025 yang akan melibatkan 32 pasukan.

Baca Juga:

Format semasa ada 7 pasukan terlibat dari kalangan juara setiap benua.

Namun FIFA mengesahkan bahawa format baharu bermula 2025 adalah idea untuk meningkatkan lagi prestij pertandingan tersebut serta meningkatkan lagi pendapatan kelab.

Kejohanan Piala Dunia Kelab tersebut dirancang diadakan 4 tahun sekali. Ianya mirip kepada format Piala Dunia yang ada sekarang ini.

Infantino berkata FIFA menjangkakan pendapatan sebanyak $11 bilion untuk tempoh empat tahun antara 2022 dan 2026 tetapi itu tidak termasuk format Piala Dunia kelab baharu pada 2025.

“Angka $11 bilion ini tanpa Piala Dunia kelab (pada 2025). Pada penghujung empat tahun kami akan membuat lebih banyak pendapatan,” kata Infantino pada sidang media terbarunya.

Infantino menambah, usaha itu akan dikembangkan lagi pada bola sepak wanita.

Selain itu Infantino turut mengesahkan bahawa, FIFA sedang merancang aksi persahabatan antarabangsa seperti Siri Super. Infantino menyatakan langkah itu akan membolehkan lebih banyak aksi antara pasukan dari konfederasi berbeza.

Dan ianya peluang untuk berbagi kepakaran dan pengalaman.

Persatuan pemain bola sepak profesional (FIFPRO) memberi reaksi negatif terhadap keputusan itu.

“FIFPRO mengambil maklum, dan terkejut dengan keputusan Jawatankuasa FIFA hari ini berhubung kalendar perlawanan antarabangsa untuk bola sepak lelaki dan wanita yang boleh membawa kesan serius dan memburukkan lagi tekanan terhadap kebajikan dan pekerjaan pemain,” kata kenyataan itu.

“Walaupun FIFPRO telah mencapai persehaman dengan FIFA minggu lalu bahawa rundingan bersama kalendar perlawanan antarabangsa akan berlangsung sebelum Kongres FIFA pada Mac 2023.”

“Namun begitu, keputusan ini diambil secara unilateral tanpa berunding secara serius, apatah lagi bersetuju, dengan pemain.”

Forum Liga Dunia (WLF), sebuah organisasi yang mewakili liga bola sepak persatuan profesional, juga bertindak balas terhadap mengkritik pengumuman itu.

WLF menganggap langkah FIFA itu akan menjejaskan kebajikan dan ekonomi dalam bola sepak.

“Memandangkan kalendar sedia ada pun sudah terlebih beban, dengan pertandingan kelab domestik yang sudah lama berlangsung dan pertandingan antarabangsa yang semakin berkembang, keputusan FIFA ini akan mewujudkan risiko kepadatan jadual perlawanan, kecederaan pemain yang lebih banyak dan mengganggu kestabilan pertandingan.”

Agak ironi kerana FIFA sebelum ini menyokong penentangan UEFA dalam membanteras pembentukan Liga Super Eropah yang dirasakan telah memberikan persaingan tidak sepatutnya kepada UCL.

Kini FIFA cuba mewujudkan pertandingan yang akan menjadi pesaing secara langsung pertandingan UCL.