Sebuah portal arus perdana Jepun, Asahi Shimbun Digital melaporkan bahawa FC Barcelona sudah membuat tawaran rasmi kepada Kashima Antlers untuk mendapatkan pemain muda berpotensi tinggi mereka, Hiroki Abe dalam perpindahan musim panas ini.

Menurut artikel itu juga, FC Barcelona sanggup membayar harga tinggi yang melebihi semua jumlah penalti yang akan dikenakan bagi penamatan kontrak semasa Hiroki Abe bersama Kashima Antlers.

Abe yang baru berusia 20 tahun, musim lalu berjaya membantu pasukan Kashima Antlers menjuarai saingan AFC Champions League 2019. Beliau juga telah membuat penampilan pertama untuk pasukan kebangsaan Jepun dalam kejohanan Copa America 2019.

hiroki abe

Dalam saingan JLeague,  Abe telah melakukan debut pada musim 2017 ketika berusia 18 tahun. Sejak itu, beliau telah membuat 48 penampilan dalam saingan J1 League, merekodkan 2147 minit masa bermain dan menjaringkan 4 gol.

Sekiranya Abe menyertai FC Barcelona, beliau akan ditempatkan dalam pasukan FC Barcelona B, yang beraksi dalam saingan Segunda Division B – hierarki ke-3 tertinggi liga bola sepak Sepanyol.

Berdasarkan perkembangan semasa, semuanya kini terpulang kepada Hiroki Abe sendiri samada mahu bersetuju untuk menyertai FC Barcelona ataupun kekal bersama Kashima Antlers.

Dianggarkan FC Barcelona akan membayar sekitar €1 juta untuk mendapatkan khidmat Abe musim panas ini.