Penyerang UiTM FC, Fauzi Abdul Latif percaya masih ada sinar dan harapan untuk pasukan kembali memperbaiki kedudukan selepas masih kemarau kemenangan dalam saingan Liga Super ketika ini.

Biarpun UiTM sedang bergelut dengan masalah prestasi, tetapi itu tidak bermakna dirinya juga perlu menyerah kalah dalam membina karier bersama pasukan pada musim ini selepas tidak konsisten bersama Negeri Sembilan pada musim lalu.

Penghijrahannya ke UiTM pada musim ini sememangnya ingin mendapatkan prestasi yang lebih baik dan mengakui persaingan yang sengit dalam pasukan juga mengajar dirinya untuk lebih bekerja keras bagi mendapat tempat.

Fauzi

“Dekat UiTM ni, saya dapat juga peluang untuk bermain walaupun sebenarnya boleh tahan sengit untuk merebut tempat dengan pemain import.

“Tetapi saya akan cuba memberi saingan yang lebih sihat, walaupun prestasi pasukan tidak berada di tahap yang kita inginkan, namun prestasi diri sendiri tetap kena utamakan juga.

“Saya akan cuba berusaha lebih keras bagi memastikan UiTM FC akan memperoleh kemenangan pertama sebaik sahaja Liga Super bersambung pada 24 Julai”, jelasnya.

Fauzi baru sahaja pulih daripada kecederaan buku lali kiri dan tempoh masa yang ada ini digunakan sebaiknya bagi menempuh latihan yang lebih lancar.

Ini kerana, dia telah terlepas dua perlawanan terakhir sebelum ini susulan kecederaan yang dialami ketika menentang Sri Pahang FC pada Mei lalu dan enggan lagi terlepas peluang untuk beraksi.

“Saya kecewa apabila cedera dan terpaksa rehat lama juga untuk pulih.

“Tetapi Alhamdulillah tempoh berehat itu adalah ketika tempoh saingan Liga Malaysia juga sedang berehat, jadi saya hanya terlepas dua perlawanan sahaja.

“Diharapkan selepas ini, jurulatih (Frank Bernhardt) akan lebih percayakan saya untuk berada dalam skuad utama bagi bantu pasukan”, tambahnya.

UiTM FC kini berada di tangga tercorot apabila masih gagal untuk meraih sebarang kemenangan selepas mengharungi 13 perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

Pasukan Bola Sepak Universiti Jepun Ini Berjaya Lahirkan 120 Orang Pemain Pro Dalam Tempoh 22 Tahun.

Yusri Che Lah Tagih Peningkatan Prestasi Skuad Projek FAM-MSN

Liridon Krasniqi Sah Tamat Kontrak Pinjaman Dengan Newcastle Jets